Leftenan (PA) Azamshah Apearal mempunyai pelbagai pengalaman menarik sepanjang menjadi Pasukan Khas Pertahanan Awam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENGALAMAN hampir ditimbus bersama rakan-rakan dalam runtuhan kedua gempa bumi ketika menjalankan operasi menyelamat di Kundasang, Sabah pada 2015 tidak mematahkan semangat Leftenan (PA) Azamshah Apearal untuk meneruskan tugasnya sebagai pegawai pasukan penyelamat.

Menceritakan kejadian gempa, Azamshah, 36, anak kelahiran Sibu, Sarawak berkata, ketika itu dia masih bertugas di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah.

“Ketika itu, kami menerima panggilan berkaitan sebuah resort runtuh akibat gempa bumi.

“Walaupun belum menerima maklumat sama ada terdapat mangsa dalam resort itu atau sebaliknya, kami sembilan orang bersiap untuk ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, tiga chalet di resort itu sudah menyembah bumi,” katanya ditemui di Kompleks APM Langkawi.


AZAMSHAH (kiri) mengangkat mangsa bot karam di Belaga. FOTO Ihsan APM

Menurutnya, apabila kawasan itu disahkan selamat, mereka turun ke bawah untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Selepas hampir 30 minit melakukan pencarian, tiba-tiba berlaku runtuhan kedua di tempat kami berada.

“Kami nyaris ditelan bumi sebelum operasi SAR dihentikan serta merta,” katanya.

Azamshah berkata, operasi SAR ditangguh selama 27 jam selepas kejadian tanah runtuh kedua.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan membabitkan pengunjung dan operasi dihentikan tidak lama kemudian.

Azamshah berkata, satu lagi pengalaman tidak dapat dilupakan ketika bertugas di APM Sarawak.

“Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) menerima maklumat bot karam di Belaga di mana lapan daripada 143 penumpang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang daripada sambutan Hari Gawai.

“Saya mengetuai PASPA membuat tinjauan sekitar lokasi bot karam.

“Lapan penyelam APM membantu operasi mencari, selain pakar yang mahir mengenai sungai di kawasan itu,” katanya.


MEMBERI bantuan kepada mangsa hampir lemas di Pantai Tengah, Langkawi. FOTO Ihsan APM

Jelasnya, operasi itu agak sukar kerana sangat berbahaya kepada penyelam dan mereka berusaha melakukan pencarian di permukaan.

Pada hari kedua, katanya, mereka melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui satu mayat.

“Mayat ditemui kira-kira 15 kilometer dari lokasi bot karam.

“Kami turut berdepan cabaran menaikkan bot yang karam itu.

“Ia sukar dijalankan akibat faktor arus deras dan pelbagai lagi,” katanya.

Azamshah turut bertugas pada operasi SAR helikopter yang terhempas di Lingga, Sarawak pada 2016.

Kejadian itu menyebabkan juruterbang dan lima penumpang, termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, meninggal dunia.

Katanya, operasi itu agak mencabar kerana membabitkan ramai mangsa.

“PASPA yang ditubuhkan enam tahun lalu turut membantu dalam operasi bencana di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:15 AM