PELBAGAI durian di ladang MARDI Kuala Kangsar Perak. FOTO Effendy Rashid
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PENGHUJUNG Jun sehinggalah memasuki Julai tahun ini, detik terbaik peminat ‘raja buah’ menjelajah bagi mencari durian terbaik.

Mereka sanggup memandu ke Tangkak atau Muar yang dikatakan ‘port’ terbaik buah itu di selatan.

Sementara Balik Pulau di Pulau Pinang mahupun Raub, Pahang dikatakan ketika ini menjadi lubuk bagi durian premium seperti ‘black thorn’ dan ‘musang king’.

Tidak sekadar sanggup menempuh perjalanan jauh, kegilaan peminat raja buah itu termasuk berbelanja ratusan ringgit semata-mata bagi membeli sebiji durian daripada baka terbaik.


ISI durian MDUR 88 mempunyai nilai komersial tinggi. FOTO NSTP

Merujuk kepada penangan buah itu yang sering dikaitkan dengan aroma ‘tidak menyenangkan’ dan dilarang kehadirannya di premis-premis tertentu terutama hotel, peminatnya tidak pernah berasa ia kekangan bagi mereka menikmatinya.

Malah aroma selain isi kekuningan selain rasa lemak manis bersulam pahit itu menarik perhatian peminat buah durian terutama bagi jenis baka premium iaitu musang king dan black thorn.

Buktinya peminat durian dari luar terutama China memerlukan Malaysia mengeksport sehingga 1,000 tan metrik setiap bulan bagi pasaran negara berkenaan.


FOTO Effendy Rashid

Sebalik kehadiran dua baka durian istimewa itu, Malaysia mempunyai 204 varieti yang sudah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dan 12 varieti itu mempunyai nilai komersial sendiri.

Di sebalik persaingan untuk menghasilkan baka terbaik, selain pemilik ladang, agensi terbabit dalam pembangunan varieti durian terbaik iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut mempunyai kualiti hibrid durian terbaik tempatan.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang menikmati durian hibrid unik. FOTO Effendy Rashid

Ketika menyertai lawatan ke ladang Agro Pelancongan Duriotourism Kuala Kangsar Perak yang seluas 20 hektar baru-baru ini, penulis bersama rakan media mencuba 20 jenis durian daripada baka berbeza.

Paling menarik dalam sesi ‘ujian rasa itu’ ialah kualiti buah yang terhasil menerusi penyelidikan MARDI iaitu MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 yang dilihat mempunyai nilai komersial setara dengan raja kunyit atau musang king.

Menurut Pengarah MARDI Perak, Daud Endam, pengunjung Duriotourism Kuala Kangsar atau MARDI Kuala Kangsar berpeluang menikmati buah keluaran hibrid istimewa yang dihasilkan pihaknya.


ORANG ramai teruja mendapatkan buah durian berkualiti dalam program Duriotourism Kuala Kangsar Perak 2019. FOTO NSTP

“Kalau di luar, rasanya susah untuk peminat durian menemui varieti durian dihasilkan penyelidik MARDI seperti MDUR78, MDUR 79 dan MDUR 88 kerana ia belum diusahakan dalam skala komersial.

“Baka MDUR78 dan MDUR 79 sudah ada sejak 1991 dan setahun kemudian MDUR 88 dikeluarkan menerusi kacukan induk D10 serta D24 dan ditanam di Kuala Kangsar.

“Kalau hendak buat perbandingan kualiti isi, durian MDUR 88 adalah antara pilihan terbaik selain dilihat menjadi pesaing kepada kualiti raja kunyit.

“Ciri MDUR 88 seperti warna kuning keemasan, bertekstur halus dan pejal selain rasa lemak manis membuatkan ia disukai kebanyakan pengunjung Duriotourism ini.

“Kualiti komersial yang dimiliki buah daripada varian ini terletak pada warnanya yang kuning keemasan dan isinya kurang berair.

“Ia boleh disimpan hingga empat hari dan mudah dibuka biarpun baru sehari gugur.

“Bagi peladang pula durian ini memang istimewa kerana ia berupaya mengeluarkan hasil seawal enam tahun dan mempunyai potensi hasil yang tinggi,” katanya.


KEMERIAHAN Duriotourism membawa pengunjung mendekati buah hibrid istimewa keluaran MARDI. FOTO Effendy Rashid

Meskipun mempunyai kualiti setanding dengan durian premium, ramai masih tidak mengetahui mengenai varieti istimewa keluaran MARDI berkenaan.

“Selain Kuala Kangsar sebagai pusat tanaman dan memperkenalkan kehadiran baka ini kepada umum menerusi pelancaran tapak agro Pelancongan Duriotourism Kuala Kangsar pada 2017, kami mempunyai stesen penanaman di dua lokasi lain iaitu Penyelidikan Stesen MARDI Jerangau, Terengganu dan Stesen MARDI Sintok, Kedah.

“Kita ada 1,100 pokok membabitkan semua varieti tempatan di Kuala Kangsar. Ketika ini kami merancang untuk pembangunan pusat benih dalam skala komersial bagi membolehkan varieti keluaran MARDI ini ditanam secara meluas,” katanya ketika ditemui dalam program Duriotourism sempena Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak baru-baru ini.


GERAI jualan pelbagai buah. FOTO Effendy Rashid

Dalam program Duriotourism 2019 di Stesen MARDI Kuala Kangsar itu pengunjung tidak saja dapat menikmati pelbagai buah-buahan, malah berpeluang menaiki trem melawat sekitar ladang serta menyertai aktiviti disediakan termasuk taklimat mengenai buah-buahan oleh penyelidik.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor, berkata ketika ini pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam mendapatkan hasil hibrid terbaik.

“MARDI kini menumpukan perhatian untuk menanam MDUR88 dalam skala lebih besar dan penanaman di kebun petani.

“Setakat ini, Pengarah Pertanian Johor dan Kedah berusaha merealisasikan usaha untuk komersialkan durian varieti MDUR 88,” katanya.

Selain penanaman, MARDI turut menggiatkan usaha untuk penghasilan anak pokok bagi tujuan itu.

“Ketika ini MARDI menyasarkan penghasilan 30,000 anak pokok semusim bagi memenuhi permintaan pekebun atau peladang tempatan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:01 AM