MUHAMMAD Zulhilmi (kiri) bersama pasukan yang ditugaskan mengeluarkan mayat dari kereta api. FOTO Ihsan Kapten Muhamad Zulhilmi Zahari
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

RABU lalu, genap lima tahun insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine yang mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Namun, kita tidak mengetahui watak utama yang banyak berjasa membantu menguruskan mayat termasuk 43 rakyat Malaysia sehingga berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Kapten Muhamad Zulhilmi Zahari antara 133 anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia yang ditugas menjalankan siasatan menyeluruh mengenai nahas pesawat berkenaan.

Beliau adalah Pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersama dua pegawai serta 21 anggota yang bertanggungjawab mengumpul cebisan mayat untuk proses bedah siasat serta ujian DNA.

Menurutnya, sembilan hari berada di bumi bergolak itu memberikan pengalaman berharga dalam hidup.


DITEMURAMAH media sebelum berlepas ke Ukraine. FOTO Ihsan Kapten Muhamad Zulhilmi Zahari

“Sebelum berlepas ke Ukraine, ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), perasaan saya jadi sebak apabila mengenangkan insiden ini.

“Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan mangsa yang berada di dalam pesawat sebelum pesawat terhempas dan perasaan ahli keluarga apabila dimaklumkan tentang tragedi,” katanya.

Menurut Kapten Muhamad Zulhilmi, di Ukraine, satu pasukan khas terdiri daripada 12 individu (The Dozen Person) berunding dengan pemberontak untuk membawa balik kotak hitam pesawat.

“Manakala pasukan saya (dua pegawai dan 21 anggota) bersiap sedia di stesen kereta api. Kami menunggu mereka (berunding dengan pemberontak untuk membawa balik kotak hitam pesawat) untuk pulang bersama dengan menaiki kereta api yang membawa gerabak berisi mayat.


MUHAMMAD Zulhilmi (kanan) menunggu di Stesen Keretapi Kharkiev untuk mengeluarkan mayat dari gerabak. FOTO Ihsan Kapten Muhamad Zulhilmi Zahari

“Semua lima gerabak berkenaan berisi mayat mangsa tragedi itu dengan ada yang lengkap selain tinggal cebisan.

“Pasukan saya bersiap sedia mengeluarkan mayat dalam gerabak untuk dibawa ke sebuah gudang untuk melakukan proses pengasingan dan pemeriksaan keselamatan.

“Kemudian kami mengasingkan mayat ke dalam keranda sebelum dihantar ke lapangan terbang untuk ke Belanda bagi proses bedah siasat,” katanya.


KERETA api membawa mayat nahas pesawat MH17. FOTO Ihsan Kapten Muhamad Zulhilmi Zahari

Muhamad Zulhilmi berkata, dia agak terkesan apabila melihat keadaan mayat tidak sempurna memandangkan kerja-kerja mengutip cebisan mayat dilakukan pada hari ketiga selepas kejadian.

“Ditambah sistem pendingin beku kereta api sebelum itu tidak berfungsi dengan baik menyebabkan sebahagian mayat berbau.

“Ia tugas yang sangat mencabar kerana tragedi berlaku pada Ramadan dan ketika itu, kami perlu berpuasa sehingga 20 jam.

“Saya turut menasihati anggota lain supaya menguruskan mayat seperti saudara sendiri dan melakukannya dengan tertib,” katanya.


PETUGAS membawa mayat dalam keranda. FOTO Ihsan Kapten Muhamad Zulhilmi Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:02 AM