Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

FOTO menyimpan aneka memori dan tentu amat bermakna berikutan ia dianggap sebagai saksi peristiwa sejarah serta kehidupan ketika era tertentu. Bukan sekadar mengabadikan kenangan, foto bahkan memiliki kisah tersendiri.

Sekeping foto juga mampu berbicara kepada setiap orang yang menatapnya. Malah, imej dalam foto mampu mempengaruhi perasaan kita sehingga membawa masuk imaginasi dalam situasi yang dicipta.

Imej dalam seni foto adalah elemen terpenting dalam komunikasi yang digunakan dalam pelbagai bidang.

Secara umumnya seni foto adalah medium paparan yang penting untuk merakam potret, peristiwa, seni bina dan persekitaran.

Pendek kata, sekeping foto mengungkap seribu rasa dan sehubungan itu, setiap kali terlihat foto lama tentu ia menyingkap kenangan silam.

Kita mungkin memiliki foto peribadi atau foto keluarga tetapi sudah rosak, koyak atau terkena air. Mungkin juga menyimpan koleksi foto hitam putih klasik yang dianggap penting dalam sejarah selain berhasrat ingin menyuntik nafas baru dengan mewarnakannya semula berikutan warna memberikan dimensi kepada gambar lama dan membuatkan ia kelihatan terkini.

Menerusi perisian penyuntingan gambar yang semakin mudah diperoleh, ia kaedah yang boleh diguna bagi membaik pulih dan mempertingkatkan kualiti foto lama.

Pakar pemulihan foto, Eranadea Kamarul Azman, 36, percaya foto lama yang dipulih mecetuskan semula nostalgia dahulukala buat generasi sekarang, selain memberi keterujaan kepada mereka yang mengenali peristiwa silam.

Eranadea yang mengasaskan Repair Gambar Lama (RGL) sejak tiga tahun lalu, menawarkan perkhidmatan baik pulih foto lama yang tidak hanya pudar dan kekuningan, juga andai sebahagiannya koyak serta rosak.


ERANADEA bersama gambar lama yang berjaya dibaiki. FOTO Syakirah Azhar.

“Kebanyakan kita mempunyai album gambar lama. Namun, jika gambar ini rosak ia adalah kenangan yang mustahil untuk diperoleh semula. Namun, tercetus pula persoalan kepada siapa gambar ini perlu dihantar untuk dibaik pulih.

“Atas sebab itulah saya rasa terpanggil untuk memberi perkhidmatan sebegini, kerana sebelum ini saya juga tercari-cari jika ada pihak yang boleh membaik pulih gambar lama dan rosak,” katanya.

Menceritakan semula bagaimana timbul idea untuk mengasaskan RGL, Eranadea berkata, ia bermula apabila adik-beradik bapanya, Kamarul Azman Jamaluddin, 73, yang berkumpul dalam majlis hari raya berkongsi album lama ketika zaman kanak-kanak termasuk foto ibu mereka yang sudah meninggal dunia.

“Memandangkan album itu sudah terlalu lama, sebahagian gambar-gambarnya rosak apabila ada yang mula pudar dan kekuningan serta berbintik-bintik hitam.

“Mereka mahu gambar itu ‘dicantikkan’ semula dan meminta saya mencari kedai yang boleh memulih gambar lama. Bagaimanapun, saya menawarkan diri untuk memulihkan gambar berkenaan menggunakan perisian menyunting gambar yang sememangnya saya kerap gunakan untuk membuat persembahan rekaan di tempat kerja.

“Apabila gambar arwah nenek yang dipulihkan itu siap, bapa kemudian menunjukkannya kepada ahli keluarga yang lain dan tidak disangka mereka menyukai hasil kerja saya. Sejak itu, saya terfikir untuk memberikan perkhidmatan ini kepada sesiapa yang memerlukan,” katanya.


ANTARA gambar lama peribadi sebelum dan selepas dipulihkan.

Katanya, kebanyakan gambar hitam putih yang diwarnakan adalah daripada babak filem Melayu klasik untuk peminatnya. Selain itu, mereka juga meminta saya membaik pulih gambar seniman dan seniwati filem klasik seperti Tan Sri P Ramlee, Nordin Ahmad, S Kadarisman, Roseyatimah dan Latifah Omar.

“Mujur saya sendiri peminat filem Melayu klasik dan menonton sejak kecil. Malah, bapa juga menyimpan koleksi pita video filem lama. Oleh itu, ia dijadikan rujukan membantu saya dalam kerja membaik pulih gambar daripada filem Melayu klasik.

“Ini penting kerana saya mahu mengekalkan keaslian imej dalam sesuatu gambar. Biarpun gambar sedemikian diberi sentuhan teknologi, perincian yang dibuat-buat akan mencacatkan gambar berkenaan,” katanya.


PEWARNAAN gambar klasik Maria Menado dan Wahid Satay dalam filem Sultan Mahmod Mangkat Dijulang.

Menariknya, Eranadea juga menitipkan kisah trivia di sebalik foto lama daripada filem klasik yang dipaparkan dalam laman media sosialnya. Misalnya, kisah berkenaan seniwati terkenal Mak Enon sejak mula membabitkan diri dalam bidang seni daripada pentas bangsawan ke layar perak.

Trivia lain, seniwati Latifah Omar didakwa hampir digilis replika kapal ketika berlakon dalam filem Lanchang Kuning arahan M Amin pada 1962. Kejadian berlaku disebabkan tali pengikat kapal itu terputus sebelum disedari pelakon dan kru penggambaran di lokasi yang terdengar suara Nordin Ahmad menjerit. Akibat kejadian itu, Latifah Omar mengalami trauma dan penggambaran terpaksa dihentikan selama beberapa minggu.


GAMBAR seniman Nordin Ahmad dan seniwati Maria Menado dalam filem Tun Fatimah arahan Salleh Ghani pada 1962 yang diwarnakan.

Eranadea berkata, dalam penghasilan trivia berkenaan, dia bekerjasama dengan Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik (KFMMK) untuk membuat rujukan berikutan kelab itu banyak menyimpan fakta berkaitan dunia perfileman Melayu lama yang jarang didedahkan media massa.

KFMMK memiliki banyak gambar nostalgia yang eksklusif diperoleh daripada bahan bacaan seperti majalah hiburan lama dan buku yang banyak dijadikan koleksi oleh ahli yang juga peminat filem klasik, selain daripada veteran filem serta waris mereka.

Secara tidak langsung, foto hitam putih babak filem Melayu klasik termasuk seniman dan seniwatinya yang diwarnakan semula dapat menarik minat orang ramai terutama generasi muda meminati semula karya klasik berkenaan.

Ini dilakukan supaya sejarah perfileman Melayu negara, terutama karya klasik masih terus dikenang dan tidak hilang begitu saja berikutan perkembangan karya baharu yang banyak muncul ketika ini seiring dengan teknologi.


WATAK hitam putih Cik Salmah lakonan biduanita Saloma dalam filem Seniman Bujang Lapok.

“Saya juga pernah menerima permintaan yang dianggap istimewa daripada seorang wanita yang mahu mencari ibu kandungnya yang sudah terpisah selama 14 tahun.

“Dia memberikan gambar lama ibunya sekitar 1990-an, tetapi gambar itu sudah terkoyak selain sebahagiannya pudar sedikit terkena air. Maka, saya bantu pulihkan dengan mencantumkan semula bahagian gambar yang hilang kerana ia satu-satunya kenangan bersama ibu yang wanita berkenaan ada.

“Malah, saya juga menerima permintaan untuk mewarnakan gambar hitam putih si mati untuk majlis pengebumian bukan Islam. Warisnya mahu gambar itu diberi sentuhan semula untuk dibingkaikan dan dikalungkan bunga,” katanya.

Selain itu, Eranadea juga pernah membaik pulih foto lama bagi tujuan pameran untuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Pustaka Peringatan P Ramlee, Muzium Negeri Terengganu dan waris seniman filem klasik.


GAMBAR kumpulan samseng jeti penambang dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

“Mungkin ada yang menganggap mudah saja melakukan kerja baik pulih ini kerana perisiannya sudah tersedia dan teknologinya semakin maju. Sebenarnya, proses memulih gambar ini agak rumit kerana tidak saja memerlukan ketelitian dan ketekunan, malah kesabaran yang tinggi.

“Ia juga perlukan kemahiran kerana kita mahu memuaskan hati pelanggan. Saya sendiri menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer bagi menghidupkan semula foto lama untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Memandangkan saya juga mempunyai kerjaya tetap sebagai arkitek di ibu negara, ia juga dianggap cabaran kerana perlu membahagikan masa. Oleh itu kerja baik pulih gambar lama dilakukan pada hujung minggu kecuali kecemasan.

“Harapan saya supaya usaha ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat, bahawa dengan penggunaan teknologi yang ada, gambar lama mereka yang sudah rosak masih boleh diselamatkan bagi mengembalikan kenangan itu seterusnya untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:00 AM