MASJID sering jadi sasaran penjenayah untuk melakukan pelbagai aktiviti curi. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

KADANGKALA ketika menunaikan solat di masjid, tumpuan terganggu apabila memikirkan keselamatan barangan peribadi. Baik daripada selipar atau kasut yang ditinggalkan di luar pekarangan mahupun beg yang dibawa bersama.

Perasaan bimbang mengenai keselamatan ketika berada di tempat ibadat itu juga kadangkala menjadikan solat tidak khusyuk dan mungkin ada juga yang ingin menunaikan tuntutan agama itu secepat mungkin.

Kes kehilangan barangan ketika menunaikan kewajipan di dalam masjid atau surau bukan sesuatu yang baharu. Malah, penjenayah juga semakin berani untuk mengambil kesempatan meskipun tahu mereka melakukan dosa di dalam kawasan suci.

Kes kecurian tas tangan jemaah wanita, kehilangan selipar atau kasut, kehilangan kenderaan dan kecurian wang sumbangan jemaah di masjid adalah perkara yang biasa didengar.

Pada hari ini seiring dengan perkembangan teknologi semasa, banyak kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di kawasan masjid tetapi ia gagal menghalang penjenayah melakukan aktiviti mencuri di dalam kawasan berkenaan.

Setiap tahun ada saja laporan mengenai video pencuri yang cuba ‘memancing’ wang di dalam tabung masjid yang tular dalam media sosial. Walaupun ia menjadi tular dan ada si pelaku yang sudah ditangkap, jenayah tetap berulang.


LAPORAN kes jenayah seperti pecah tabung sering kali berlaku di masjid. FOTO Ihsan pembaca

Kejadian jenayah itu tidak saja berlaku di kawasan kampung, juga di masjid kawasan bandar yang sememangnya menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk beribadat.

Melihat kepada keadaan itu, pada 16 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melancarkan Program 1Masjid 1Polis (1M1P) bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan jawatankuasa masjid di Kuala Lumpur bagi menangani kes jenayah membabitkan masjid di ibu negara.

Menerusi 1M1P, sebanyak 72 masjid di Kontinjen Kuala Lumpur dan seorang pegawai atau anggota polis dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) di setiap masjid.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, PPM bertindak sebagai individu perantaraan diantara pihak masjid dan PDRM bagi menyalurkan sebarang kes jenayah untuk diambil tindakan dan melakukan aktiviti pemantauan.


PELAKSANAAN 1M1P di Sabah menunjukkan polis amat mementingkan kesejahteraan masyarakat yang melakukan ibadat di masjid seluruh negara. FOTO Khairull Aazry Bidin.

Beliau berkata, di setiap masjid akan ditempatkan sekurang-kurangnya pegawai atau anggota polis dan perkara ini memberi kemudahan bukan saja kepada pihak polis mendapatkan maklumat, malah jemaah masjid mudah untuk membuat laporan.

“Ketika ini ramai orang melihat kes kecurian kasut jemaah di masjid sebagai perkara biasa dan tidak dilaporkan kepada polis kerana menganggapnya sebagai perkara kecil.

“Jika ia berlaku dalam skala besar dan orang ramai tidak melaporkan perkara ini, pihak polis tidak mengetahui mengenai kes itu yang sebenarnya satu jenayah dan boleh diambil tindakan terhadap pelakunya. Jadi kita perlu banteras walaupun ia jenayah yang kecil,” katanya.

Jelasnya, jika orang ramai terus menyalurkan maklumat mengenai jenayah yang berlaku di masjid seperti kecurian motosikal atau pecah cermin kereta, pihaknya boleh mengaturkan anggota polis untuk memantau dan mengambil tindakan susulan.


MAZLAN (lima dari kiri) melancarkan 1M1P secara rasmi. FOTO NSTP

Menerusi PPM juga, pihak polis boleh mengingatkan kepada pentadbir dan kariah masjid di kawasan lain untuk lebih berhati-hati jika sesuatu jenayah itu berlaku di tempat mereka.

“Contohnya, jika berlakunya pecah tabung masjid, PPM akan maklumkan semua masjid yang lain mengenai perkara ini. Jadi mereka akan bersiap sedia dan sentiasa memantau keadaan masjid masing-masing.

“Selain itu, di 72 masjid ini juga diletakkan peti polis untuk merekodkan lawatan pegawai atau anggota yang menggunakan kereta peronda di kawasan masjid masing-masing,” katanya.

Mazlan berkata, rondaan secara berjadual itu dilakukan dari masa ke masa dan dijalankan lebih kerap sekiranya terdapat laporan kes jenayah di kawasan masjid berkenaan.


SESI rondaan lebih kerap membantu mencegah jenayah di kawasan masjid. FOTO Abdullah Yusof

Menerusi program itu, ahli jawatankuasa masjid juga akan mempunyai nombor telefon anggota atau pegawai polis yang ditugaskan untuk memantau masjid mereka.

“Dengan adanya simpanan nombor di antara pihak masjid dan polis, mereka senang untuk berkomunikasi memberikan maklumat mengenai kejadian jenayah yang berlaku.

“Jadi sekarang lebih cepatlah pihak masjid dapat menyalurkan maklumat dan anggota polis juga dapat menjalankan siasatan atau pemantauan dengan lebih pantas,” katanya.

1M1P bermula pada 25 Jun 2012 sebagai produk inovasi sewaktu Hari Inovasi PDRM 2012 di Terengganu. Menerusi pengenalannya, Kontinjen Terengganu melaksanakan program berkenaan secara menyeluruh membabitkan semua daerah di Terengganu dan pada 2015, 1M1P dinobatkan sebagai Johan Anugerah Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2015.


IPK Kuala Lumpur siap sedia untuk memastikan keselamatan masjid di Kuala Lumpur dalam keadaan selamat. FOTO Ihsan PDRM

Seterusnya, ketika berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Inovasi 2015/2016, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan supaya program berkenaan dilaksanakan di semua kontinjen.

Mazlan berkata, IPK Kuala Lumpur sebenarnya sudah melaksanakan 1M1P sejak 2017 dan baru dirasmikan pada tahun ini bagi memberi kesedaran terlebih dahulu kepada qariah masjid mengenai program berkenaan.

“Pada peringkat awal, saya cuma arahkan saja pegawai atau anggota untuk memantau di sesuatu masjid dan apabila adanya perasmian ini, kami berikan sijil pelantikan kepada 72 pegawai supaya mereka mempunyai kuasa di kawasan masjid masing-masing untuk membanteras jenayah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah kes jenayah yang berlaku di kawasan masjid, katanya, pihaknya menerima laporan tujuh kes membabitkan jenayah pecah tabung setakat lima bulan pertama tahun ini.

“Disebabkan itu program ini penting bagi memastikan jenayah seperti ini tidak berlaku dan dengan adanya 1M1P, kami mahu sasarkan sifar jenayah membabitkan kawasan masjid,” katanya.


POLIS memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat mencegah jenayah tanpa mengira keadaan. FOTO Rasul Azli Samad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 8:03 AM