S HAMID di bahagian pengendalian bagasi. FOTO NSTP
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.m

asyikin.mat@hmetro.com.m

IDENTITI individu yang bertugas di bahagian pengendalian bagasi di mana-mana syarikat penerbangan jarang diketahui umum.

Mereka tidak saja bertugas jauh daripada pandangan penumpang malah perlu memastikan proses penghantaran serta penerimaan bagasi penumpang kapal terbang dapat dilaksanakan dengan jaya.

Kira-kira 300 kakitangan pengendali bagasi Aerodarat Services Sdn Bhd (ADS), anak syarikat Malaysian Aviation Grup (MAG) yang diketuai S Hamid Mohd Yusof, cekap menjalankan tugas itu walaupun berdepan halangan termasuk cuaca yang tidak menentu.

S Hamid berkata, pada 2017, sebuah syarikat penerbangan berdepan masalah ketika mana bilangan bagasi tersalah kendali direkodkan agak tinggi iaitu 959 unit.

Beg salah kendali ialah beg yang tidak dapat dibawa bersama pemiliknya yang menaiki sesuatu penerbangan ke destinasi dituju atas sebab-sebab tertentu.

“Pasukan pengendali bagasi cuba mencari penyelesaian dengan menyusun perancangan bagi mengurangkan masalah bagasi salah kendali pada Disember tahun itu juga.

“Atur gerak dilakukan berjaya mengatasi masalah ini apabila bilangan bagasi salah kendali dapat dikurangkan dalam masa singkat iaitu di bawah 100 unit pada Mac 2018.

“Kejayaan ini secara tidak langsung meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat penerbangan dan penumpang,” katanya.


PETUGAS bertanggungjawab memastikan penumpang menerima bagasi dengan selamat. FOTO NSTP

Beliau berkata, kebanyakan masalah berkenaan menimpa penumpang akibat jarak waktu ketibaan dan penerbangan seterusnya singkat.

“Penumpang perlu berada sekurang-kurangnya sejam di lapangan terbang yang menjadi destinasi transit.

“Jika kurang daripada masa itu, penumpang berkaitan tidak boleh membawa bagasinya bersama dalam penerbangan,” katanya.

Katanya, ia menyebabkan bagasi itu lewat tiba berbanding penumpang kerana ia dibawa dalam penerbangan seterusnya.

Jelasnya, pasukannya sentiasa memberi tumpuan terhadap masalah berkenaan kerana sebahagian besar kes beg salah kendali membabitkan penerbangan transit.

“Kami merekodkan antara 8,000 hingga 9,000 beg transit yang diuruskan setiap hari.

“Kami sudah biasa berdepan situasi penumpang yang beremosi kerana menyangka bagasi mereka hilang apabila tiada di bahagian tuntutan bagasi.

“Kami mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.


S HAMID (empat, kanan) bersama kakitangan menerima Anugerah WOW.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:00 AM