PEMBERIAN duit raya ikut kemampuan. FOTO Syarafiq Abd Samad
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

UKUR baju di badan sendiri, bidalan terbaik bagi menggambarkan situasi individu supaya berbelanja mengikut kemampuan supaya tidak berlebihan menyambut Syawal.

Tidak dinafikan berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan, menerbitkan keghairahan buat umat Islam menikmati keseronokan sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu dan melaksanakan tanggungjawab seorang hamba.

Keseronokan ini juga menyumbang kepada pembaziran apabila kita seakan-akan terlupa konsep bersederhana yang sering ditekankan dalam kehidupan umat Islam.

Memegang kata-kata ‘raya hanya setahun sekali’ menjerat segelintir masyarakat untuk berbelanja sakan dan boros tanpa perancangan, hingga meletakkan mereka dalam situasi ‘pokai’ selepas hari raya.

Ketua Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Akmar Yaakub berkata, kegagalan mengawal keinginan untuk berbelanja, senang dipengaruhi promosi dan jualan murah menjerumuskan individu berbelanja tanpa perancangan.


BERBELANJA secara cermat. FOTO Supian Ahmad

“Ada dua jenis trend berbelanja dalam kalangan masyarakat sama ada secara tradisional (mengunjungi kedai) atau dalam talian.

“Berdasarkan pemerhatian, berlaku peningkatan pembelian secara dalam talian pada masa kini kerana wujud pengaruh media sosial, individu pencetus pengaruh menerusi media sosial (influencer), pilihan lebih variasi serta promosi lebih murah.

“Merujuk kajian 11st Street ke atas 2,000 responden pada 2016 mendapati, 78 peratus menyatakan baju raya adalah barangan utama dibeli terlebih dulu sebelum barangan lain.

“Menariknya, wujud peningkatan kesedaran jenama dalam kalangan lelaki ketika membeli baju raya gara-gara media sosial berbanding sebelum ini, golongan lelaki lebih santai untuk bergaya pada pagi raya.

“Sementara itu, kajian oleh Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri pada 2017 mengenai Corak Perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri Rakyat Malaysia ke atas 700 responden mengukuhkan lagi gaya berbelanja rakyat Malaysia secara boros.

“Sebanyak 55 peratus responden berbelanja lebih sekali ganda berbanding perbelanjaan bulan biasa, 22 peratus (melebihi dua kali ganda) dan diikuti lima peratus (melebihi tiga kali ganda).

“Meskipun ada 79 peratus menyediakan bajet raya, majoriti gagal mengikuti belanjawan khusus itu kerana kurangnya disiplin,” katanya.


BUAT senarai semak agar elak pembaziran. FOTO Nadim Bokhari

Merujuk pada peningkatan trend berbelanja dalam talian, Nor Akmar mengakui ia lebih mudah sama ada promosi, akses beli-belah di hujung jari dan boleh berbelanja secara kredit.

Timbalan Pengurus Pendidikan Kewangan AKPK, Monarita Junaidi berkata, isu pokai selepas perayaan bergantung pada individu selagi mereka disiplin mengikut perancangan yang dibuat.

Jelasnya, pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia sangat kurang dan mereka tidak pandai merancang perbelanjaan.


PERLU disiplin ikut belanjawan. FOTO Zulfadhli Zulkifli

“Hari raya adalah acara tahunan seharusnya mereka boleh merancang lebih awal. Trend baju sedondon, saingan jenama antara teman, jualan runtuh dan konsep ‘semua baharu’ seperti perabot atau pengubahsuaian memerlukan kos yang tinggi.

“Selain itu, pengguna juga dibelenggu stigma masyarakat hingga membuatkan mereka berbelanja sakan sama ada jenis kereta yang dipandu serta nilai duit raya diberikan kepada kanak-kanak.

“Trend bergaya dengan kereta mewah yang disewa turut menunjukkan peningkatan. Segelintir pengguna sanggup berbelanja lebih untuk menyewa kereta berjenama dan mewah untuk pulang berhari raya semata-mata melayani persepsi masyarakat.

“Trend bercuti di dalam dan luar negara ketika perayaan turut meningkatkan lagi perbelanjaan kerana ia memerlukan kos besar bagi menampung petrol, tiket penerbangan, penginapan dan sebagainya,” katanya.


PROMOSI dan harga runtuh jerat pengguna. FOTO Syarafiq Abd Samad

Tegasnya lagi, pengguna tidak seharusnya berdepan isu kekurangan bajet atau terlebih berbelanja sempena perayaan.

Ini kerana hari raya disambut setiap tahun dan membolehkan mereka melakukan perancangan dan persiapan awal termasuk simpanan khas untuk musim perayaan.

Tip paling utama, beli barangan yang diperlukan sahaja, membuat senarai, menangguh kemahuan (bergaya) pada masa akan datang, patuhi senarai semak yang dibuat dan asingkan pembayaran balik pinjaman.

Tambah Nor Akmar pula, ada segelintir pengguna sanggup menangguhkan rutin pembayaran pinjaman seperti pinjaman peribadi, kenderaan mahupun rumah semata-mata ingin bergaya pada hari raya.

Menyifatkan ia adalah tindakan kurang bijak kerana tunggakan sebulan akan memberi kesan kepada pengguna untuk melakukan pembayaran dua kali ganda pada bulan seterusnya.

Selain itu, pengguna juga seharusnya menyediakan dana kecemasan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara luar jangkaan selepas hari raya, bukan menggunakan duit raya anak bagi tujuan berkenaan.


BERBELANJA secara tradisional masih menjadi amalan selain dalam talian. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:00 AM