ADZLI. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my

PEMBABITAN selama 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan pelbagai kes jenayah berat berjaya diselesaikan pegawai kanan polis ini.

Antara kes besar yang diselesaikan Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, 51, yang juga Ketua Polis Daerah Kuala Muda, adalah berkaitan siri lima pembunuhan membabitkan kumpulan kongsi gelap Geng 36 yang berlaku di Seremban, Negeri Sembilan.

“Sebulan selepas saya lapor diri sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan (Risikan/Operasi) pada Ogos 2017, saya terima surat layang berkaitan kehilangan lima individu dipercayai dibunuh.

“Pembunuhan dipercayai berlaku sekitar 2014 hingga 2015, maka, saya berusaha selesaikan kes itu,” katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, pada mulanya beliau berhadapan kesukaran untuk mengendali kes terbabit berikutan kekurangan maklumat disebabkan sumber tidak berani tampil bagi membantu siasatan.


ADZLI (kiri) menerima surat penghargaan perkhidmatan cemerlang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada 2009. FOTO Nor Farhani Che Ad

“Cabaran dalam kes ini adalah apabila pemberi maklumat berasakan tidak yakin dengan polis untuk menyelesaikan kes ini kerana mereka sangka kita melindungi suspek.

“Namun, saya cuba yakinkan sumber dengan cara tersendiri sehingga kita berjaya mendapat petunjuk lokasi mayat lima individu terbabit ditanam,” katanya.

Menurutnya, beliau antara yang terbabit dalam kerja mengorek liang lahad mangsa pembunuhan di kawasan hutan yang juga bekas paya.

“Maklumat yang diterima tidak begitu terperinci yang mana sumber hanya mengatakan mayat ditanam di satu kawasan yang dahulunya adalah kawasan lapang.

“Bila kita ke lokasi, kita dapati keadaan kawasan berkenaan berbeza yang mana sudah bertukar menjadi hutan yang ditumbuhi pokok tinggi, lalu kita cari dengan bantuan anjing pengesan.

“Saya sendiri menggali lubang bersama anggota lain dengan dibantu unit forensik serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berikutan kawasan terbabit adalah bekas paya,” katanya.


ADZLI menunjukkan antara sijil penghargaan yang pernah diterimanya sepanjang berkhidmat dalam pasukan PDRM. FOTO Nor Farhani Che Ad

Dalam pada itu, Adzli berkata, antara kes lain yang membabitkannya secara langsung adalah kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya pada 2010.

“Saya menyertai pasukan ketika membuat tangkapan ke atas empat suspek pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga pembantunya di Telok Gadong, Klang kira-kira sembilan tahun lalu,” katanya.

Menceritakan pembabitannya dalam pasukan PDRM, Adzli berkata, beliau memulakan kerjayanya sebagai konstabel pada 1989 selepas belajar hingga tahap Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Johor yang pernah aktif dalam sukan hoki dan ragbi ini juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada 2009.

Katanya, walaupun ibu bapa pernah menghalangnya menyertai pasukan beruniform itu, minat yang mendalam terhadap kerjaya itu membuatkan beliau meneruskan cita-citanya dan kini ibu bapanya gembira dengan pencapaian beliau.


BERSAMA isteri dan tiga anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:02 AM