MEMPUNYAI hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi. FOTO Supian Ahmad.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


LIMA tahun berkhidmat di Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sebagai pegawai penyiasat memberi peluang buat Inspektor Siti Arba’iyah Md Nadirin menimba pelbagai pengalaman menarik.

Namun, ada pengalaman sukar dilupakan sepanjang menggalas tanggungjawab berkenaan yang boleh diambil iktibar.

Menurutnya, ia berkaitan insiden kemalangan maut membabitkan remaja lelaki yang berlumba motosikal dan beliau ditugaskan untuk mengendalikan kes berkenaan.

“Kes ini begitu menyentuh hati kerana mayat mangsa terseret sejauh kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian. Apabila mengangkat mangsa, saya dapati separuh badannya hilang.

“Tentunya saya berasa sedih dan simpati kerana arwah yang masih muda meninggal dunia dalam keadaan tragis,” katanya.

Katanya, tindakan segelintir individu yang berlumba memang tidak berbaloi kerana jika ditimpa kemalangan, kebiasaannya, rakan-rakan pelumba meninggalkan mereka bersendirian di atas jalan raya.

“Lebih menyedihkan apabila melihat ibu bapa menangis mendakap tubuh kaku anak mereka di hospital.

“Nasihat saya kepada golongan remaja, jangan mudah terpedaya dengan ajakan rakan-rakan untuk terbabit dalam kegiatan lumba haram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:07 AM