KAKITANGAN cekap memeriksa pinggan dicuci mesin sertu.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@yahoo.com.my


RAMAI beranggapan amalan membersihkan najis berat iaitu najis anjing, babi dan keturunannya disebut samak sedangkan proses berkenaan lebih tepatnya ialah sertu.

Samak pula istilah menerangkan perbuatan menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan kesat seperti pasir dan sebagainya.

Samak ini kebiasaannya digunakan untuk menyamak kulit bagi mengeluarkan daging yang terlekat pada kulit haiwan yang ingin digunakan. Jadi istilah sering digunakan pihak industri mahupun pihak berwajib dalam aspek penjagaan halal ialah sertu.

Proses berkenaan biasanya dilakukan jika sesuatu bahan terkena atau disentuh oleh najis berkenaan termasuklah daging mahupun tempat menyimpan haiwan terbabit.

Seperti yang disarankan dalam syariah, bahan yang terkena najis itu perlulah dicuci dengan tujuh kali basuhan membabitkan satu campuran tanah berserta air sementara enam basuhan lain menggunakan air mutlak.

Sebagaimana dalam kes membabitkan premis makanan, kediaman dan kawasan umum yang dipercayai sebelum ini menyajikan hidangan sumber daging babi itu, sertu perlu dilakukan.

Bagaimana pula halnya dengan pinggan mangkuk yang digunakan dalam pesawat, adakah proses ini perlu diambil kira dalam menjaga kemaslahatan penumpang beragama Islam?

Merujuk pada hal itu, lawatan penulis bersama kumpulan media ke Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd (BSFS) baru-baru ini, membuka perspektif bagaimana amalan patuh syariah itu dilaksanakan dalam penyediaan servis makanan untuk pesawat.

Difahamkan rutin syarikat itu yang membekalkan servis buat 32 syarikat penerbangan turut terbabit dalam kerja mencuci lebih 500,000 pinggan mangkuk setiap hari.

Jika secara manual adalah mustahil dan satu langkah ke hadapan apabila BSFS mengambil pendekatan untuk melabur bagi memiliki sembilan mesin pencuci sertu.

Menurut Pengarah Halal dan Keselamatan Makanan, Nur Izani Ibrahim, majoriti penumpang yang menaiki pesawat menggunakan syarikat penerbangan dari Kuala Lumpur tidak perlu ragu dengan status makanan kerana ia dijamin halal.

“Aspek halal amat dititikberatkan kerana ia membabitkan keperluan penumpang pesawat terutama yang beragama Islam.

“Malah permintaan terhadap servis mesra Muslim kian mendapat permintaan termasuk daripada syarikat penerbangan antarabangsa. Jadi keperluan menjaga kualiti segi halal itu menjadi keutamaan.

“Dari segi makanan, bagi kami ia tidak menjadi masalah kerana semua bahan datang dari dapur kami ialah bahan halal dan kualiti premium ini kerana prosedur untuk setiap menu dikeluarkan garis panduan kualiti sangat ketat mengikut amalan halal dan toyyiban.

“Cabaran kami perlu tempuhi ialah pinggan mangkuk daripada kart yang pesawatnya menghidangkan juadah tidak halal.

“Atas itu satu inovasi diperlukan iaitu mesin cuci sertu iaitu mesin yang berfungsi mengikut seperti mekanisme amalan cuci terkena najis berat iaitu satu tanah dan enam air bersih, bezanya ia dilakukan oleh teknologi,” katanya.

Mengenai campuran tanah yang digunakan, kata Izani, bekalan tanah diperoleh daripada pengeluar yang sudah mendapat pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Tanah digunakan adalah tanah khas yang terpilih dan sudah melalui proses saringan oleh pihak berwajib sendiri. Biasanya tanah ini akan dimasukkan dalam mesin dan dicampur dengan air lalu nozel akan pancut kepada pinggan melaluinya. Selebihnya ialah nozel air yang biasa iaitu enam nozel bagi syarat untuk enam basuhan air mutlak.

“Ketika ini mesin berkenaan berfungsi 24 jam dan hanya berehat satu jam ketika pertukaran shif iaitu antara jam 7 pagi dan 7 malam.

“Kadar kepantasan mesin ini berfungsi ialah ia mampu mencuci sebanyak 1,000 pinggan mangkuk dalam tempoh 15 hingga ke 20 minit,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings Berhad Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, inovasi penting itu dilihat satu pencapaian penting dalam industri halal negara yang mana ketika ini Malaysia antara negara mempunyai fasiliti mesin sertu ini.

“Meskipun mesin ini merupakan penambahan fungsi daripada mesin cuci pinggan mangkuk industri biasa, tetapi idea dan rekaan adalah sumbangan tempatan.

“Sebenarnya penggunaan mesin cuci sertu yang pertama sudah diperkenalkan pada MAS Catering Sdn Bhd sejak 1998. Tetapi untuk membolehkan seksyen pembersihan pinggan mangkuk berlangsung lebih cekap bagi memastikan perkhidmatan penyedia makanan penerbangan berlangsung dengan lancar, pada 2011 pasukan inovasi khas dibentuk dengan kolaborasi JAKIM.

“Ini membolehkan kami mengenal pasti pengubahsuaian mesin cuci biasa kepada mesin pinggang mangkuk yang mematuhi syarat sertu.

“Satu prototaip mesin berkenaan dibuat oleh pengeluar asal mesin berkenaan dari Jerman dan diuji di sana dengan pemantauan pasukan dari JAKIM.

“Pada 2014 barulah Lembaga Pakar Syariah termasuklah mufti dan JAKIM meluluskan inovasi terbabit dan dilancarkan pada 2015 oleh mantan Menteri Hal Ehwal Agama Islam,” katanya.

Menyentuh kepada syarat sertu kata Ibrahim, kapasiti mesin sertu itu ialah mempunyai bahagian semburan campuran air dengan tanah khas dan diikuti dengan semburan enam kali air yang biasa seperti garis panduan dalam Islam.

“Ada bahagian khas bagi campuran tanah bersama air dan ia disambungkan menerusi saluran khas dan dari itu, akan ada nozel penyembur sebaik pinggan melaluinya.

“Campuran tanah dan air dengan nisbah tanah itu lebih 0.6 peratus hingga 2.5 peratus. Barulah dicuci enam kali dengan air mutlak. Semua ini sudah mendapat pengesahan daripada JAKIM,” katanya yang berbangga dapat memberi khidmat kepada 250 penerbangan setiap hari termasuk empat syarikat penerbangan terkemuka dunia iaitu Qatar Airways, ANA All Nippon Airways, Emirates dan Cathay Pacific Airways.

Ibrahim berkata, dengan adanya mesin berkenaan hasrat untuk membekalkan makanan kepada

Amal milik Malaysia

Airlines Bhd.

“Ketika ini kami membekalkan makanan untuk pesawat sewaan Malaysia Airlines, tetapi berharap untuk mendapat kontrak projek Amal ini juga.

“Projek Amal ini untuk penumpang mengerjakan umrah dan haji di Makkah. Maka, sudah tentu penumpang mahu memastikan tiada unsur kompromi termasuk memastikan makanan yang ditawarkan adalah halal.

“Selain menawarkan makanan halal, kami juga memastikan semua peralatan seperti peralatan makanan dan pinggan mangkuk juga adalah halal apabila dicuci mengikut patuh syariah menggunakan mesin cucian sertu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:00 AM