SIMBOLIK pencemaran alam akibat fesyen. FOTO Aziah Azmee
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Ucapan sayang jauh lebih mudah untuk dituturkan bagi mencerminkan perasaan dan penghargaan, namun kata-kata itu seakan-akan tidak bermakna sekiranya tidak seiring dengan tindakan.

Pelancaran kempen berkonsepkan penjagaan bumi seperti ‘Setiap Hari Tanpa Beg Plastik’, ‘Hari Tanpa Beg Plastik’, ‘Tak Nak Straw’, tindakan mengenakan caj pencemaran 20 sen untuk beg plastik dan sebagainya antara inisiatif diperkenalkan sebagai tanda cinta kepada alam sekitar dan bumi.

Di sebalik pelaksanaan pelbagai kempen berkiblatkan satu tujuan itu, bagaimanakah tahap kesedaran dan tindakan diambil rakyat Malaysia bagi memastikan kejayaan dalam menggapai misi berkenaan? Seandainya, anda mencintai bumi yang juga rumah bagi manusia sejagat, apakah tindakan yang anda lakukan untuk menunjukkan rasa cinta itu?

Penganjuran program ‘Sampah, Menyampah and Friends’ diadakan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini mendedahkan usaha positif dalam kalangan rakyat tempatan yang menyokong idea mewujudkan suasana bumi tanpa pencemaran di samping menzahirkan rasa cinta terhadap bumi menerusi cara tersendiri.


RAIH tarikan orang ramai. FOTO Aziah Azmee

Peserta program, Wan Azlin Kamarudin, 33, berkata rentetan daripada masalah senggugut dialami setiap bulan menjadi titik permulaan kepadanya untuk menggunakan barangan keperluan wanita secara alami.

“Generasi nenek moyang kita dulu menggunakan kain sebagai pelapik seluar dalam sekiranya datang haid. Apabila saya kerap mengalami masalah senggugut, emak menyarankan supaya saya mengikut cara nenek moyang. Berdasarkan pengalaman saya, kesakitan itu beransur hilang sepanjang melakukan kaedah tradisional berkenaan.

“Dikategorikan mesra alam dengan memanfaatkan sumber kain kapas, saya mendapat idea untuk menghasilkan pelapik seluar dalam mesra alam tanpa menggunakan plastik mahupun fabrik sintetik seperti ‘fleece’ atau ‘minky’.

“Pelapik seluar dalam wanita sekarang kebanyakannya menggunakan plastik bersesuaian dengan era hari ini. Tetapi sebenarnya ia menjadi ancaman kepada alam sekitar sekiranya tidak diuruskan sebaiknya.

“Ada antara kita yang kurang peka apabila membuang pelapik seluar dalam terpakai ke dalam tandas, yang pastinya berakhir di sumber minuman kita. Ia bukan saja mengancam sumber air bersih, bahkan hidupan sungai mahupun laut.

“Bertanggungjawab untuk melindungi bumi, saya terpanggil untuk menghasilkan inovasi ini meskipun ia tampak kecil, namun saya yakin ia mampu memberi impak besar sekiranya kita bersama-sama menyedari peranan dalam penjagaan alam sekitar,” katanya.


WAN Azlin menunjukkan pelapik seluar dalam mesra alam. FOTO Aziah Azmee

Kongsi ilmu urus sampah

Bagi Umi Kalsom Ismail, 33, pula dia bersama komuniti Conzerve Eco Services terpanggil untuk mendidik dan berkongsi maklumat serta pengetahuan dengan masyarakat setempat di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Fokus pada kawasan kediaman, wanita ini aktif menganjurkan bengkel dan seminar percuma untuk berkongsi ilmu mengenai pengurusan dan kaedah sampah sifar khususnya kepada golongan suri rumah.

“Idea ini termasuk pembuatan dan penggunaan pembalut makanan berasaskan lilin lebah yang pastinya dapat mengurangkan penggunaan plastik dalam rutin harian.

“Pembalut makanan lilin lebah ini sememangnya sudah lama digunakan masyarakat luar terutama Eropah. Ia diperbuat daripada kain kapas atau batik (jika ingin ciri tradisional), lilin lebah, resin, minyak jojoba dan kelapa.

“Pembalut ini sesuai untuk membungkus makanan kering dan tidak panas, malah ia juga selamat digunakan. Kaedah ini perlu dipromosikan bagi mengurangkan penghasilan sampah domestik.

“Selain itu, kita turut menggalakkan masyarakat memilih produk keperluan harian yang tidak menggunakan botol plastik seperti syampu, sabun, bahan pencuci lain sekiranya ada pilihan yang mesra alam,” katanya.


UMI Kalsom menunjukkan pembalut makanan daripada lilin lebah. FOTO Aziah Azmee

Sementara itu, Pegawai Farmasi, Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hanisah Azhari turut berkongsi inovasi dari Jepun iaitu tong Bokashi bagi pengurusan sampah domestik dengan bijak.

Teknik pengkomposan Bokashi adalah mengumpulkan semua sisa dapur termasuk daging dan produk tenusu yang dimasukkan dalam tong kedap udara sebelum ditambah yis untuk menguraikan sisa berkenaan seterusnya dijadikan baja.

Katanya, tong Bokashi akan ditutup kemas selepas sisa terkumpul sudah penuh dan dibiarkan sekurang-kurangnya dua minggu lagi bagi proses pengkomposan sepenuhnya sebelum ia boleh digunakan. Menariknya, teknik Bokashi ini bukan saja boleh digunakan untuk sisa makanan, malah najis binatang peliharaan seperti kucing boleh dikitar semula.

Dr Hanisah yang turut mengamalkan teknik ini dalam kehidupannya mengakui usaha ini boleh membantu penghuni rumah menguruskan sampah lebih cekap, sekali gus mendidik mereka mengenai pengasingan sampah kitar semula.


PILIHAN yang mesra alam. FOTO Aziah Azmee

Pakaian juga mencemar bumi

Pengasas bersama Sampah, Menyampah, Carolyn Lau berkata, program berkenaan dianjurkan sebagai manifesto mempromosikan usaha dilakukan komuniti Malaysia yang memelihara bumi.

Program kali kedua diadakan itu yang menghimpunkan golongan pejuang alam sekitar sama ada individu mahupun badan bukan kerajaan (NGO), disifatkan menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Kerjasama ini mampu mencetuskan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai usaha yang perlu dilakukan mereka bagi mengekalkan kelestarian bumi.

“Selain meningkatkan kesedaran, kita juga ingin memperluaskan komuniti yang mengamalkan ‘sampah sifar’ dan mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan.

“Bagi pengunjung yang terbiasa dengan konsep ini, mereka tahu tiada sebarang beg plastik mahupun kertas digunakan dalam transaksi pembelian produk dijual pada program ini dan mereka akan membawa beg mesra alam sendiri,” katanya.


CAROLYN. FOTO Aziah Azmee

Pada masa sama, Carolyn turut menekankan fesyen dan pakaian juga antara faktor utama menyumbang kepada pencemaran bumi. Ini ditonjolkan dengan idea timbunan baju ‘Fast Fashion’ yang melebihi ketinggian Menara Berkembar Kuala Lumpur.

“Keghairahan membeli pakaian tidak diperlukan hanya kerana harganya murah, mencetuskan pembaziran serta pencemaran. Seharusnya, pakaian boleh dipakai dalam tempoh masa yang lama malah sekiranya ia rosak ia boleh dikitar semula.

“Penghasilan sehelai kemeja-T kapas menggunakan 2,400 liter air. Penggunaan air ini merangkumi proses penanaman pokok kekabu hingga ke peringkat akhir baju yang sedia dipakai.

“Sumber yang kita miliki semakin berkurangan berbanding dahulu, justeru menjadi tanggungjawab besar untuk kita memelihara dan memulihara alam dan bumi,” katanya.

Selain gerai jualan barangan mesra alam, program ini sempena sambutan Hari Bumi Sedunia yang diraikan setiap 22 April turut disempurnakan dengan bengkel serta seminar berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.


PILIHAN penyedut minuman. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 7:01 AM