MOHAD Idris. FOTO Adi Safri
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

“KENANGAN manis tak dapat dilupakan ialah apabila saya dan dua anggota polis menahan 236 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mendarat di Parit Besar, Muar hanya dengan helah dan taktik hasil risikan terdahulu yang dilakukan,” kata Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri.

Bermula sebagai konstabel pada 1979 beliau bangga kerana sebagai anak jati Muar, beliau dapat berbakti di tempat kelahiran lebih 19 tahun.

Kata bapa kepada enam anak itu, dia berpegang kepada prinsip sentiasa bertanya jika tidak tahu tentang sesuatu perkara.

“Pada generasi muda yang berminat menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), nasihat saya cubalah bekerjasama dan menimba pengalaman dengan semua pihak tidak kira pangkat.

“Saya banyak berbakti sebagai polis hutan di awal perkhidmatan sebagai konstabel sebelum dinaikkan pangkat sebagai koperal dan inspektor hinggalah ke pangkat ketika ini.

“Penting untuk kita menimba pengalaman dengan mereka yang lebih senior dan tahu mengenai operasi di hutan,” katanya.


MOHAD Idris (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah seberat 13.323 kilogram bernilai RM353,661 di IPD Tangkak. FOTO Adi Safri

Menurutnya, sebagai pegawai mahupun anggota polis, dia dan rakan seperjuangan maklum dengan ilmu survival diri sebelum menyertai mana-mana operasi termasuk di hutan.

“Apa yang penting, ketika berada di hutan, kita sudah maklum mengenai lokasi atau kawasan itu sendiri, barulah kita dapat arah sebenar dan mengelak daripada sesat.

“Kita juga ada ilmu-ilmu seperti melihat bintang tetapi kebiasaannya kita tidak akan nampak langit jika berada dalam hutan.

“Sebagai orang Islam, sebagai pendinding daripada kejadian tidak diingini, kita perlu menjaga solat lima waktu selain menjaga kata-kata,” katanya.


BERSAMA Pegawai Daerah Tangkak, Abdul Alim Abd Shukor (tengah) dan Pengerusi Hijrah Water Sdn Bhd, Mohamed M Said ketika menyerahkan bungkusan makanan kepada pengguna jalan raya selepas melancarkan kempen Op Selamat. FOTO Hai Rozzaman Jalal

Beliau yang dijangka bersara pada Januari 2020 berkata, setiap anggota dan pegawai yang terbabit dalam operasi sudah maklum mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Saya bersyukur kerana sepanjang perkhidmatan, saya belum pernah tercedera akibat tembakan dan ketika menyertai operasi hutan pada awal pembabitan dalam PDRM, ancaman komunis sudah berakhir.

“Banyak operasi dilakukan sepanjang sempadan negara untuk membanteras aktiviti jenayah termasuk penyeludupan manusia dan barangan larangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:30 AM