MEMPUNYAI pengetahuan yang mendalam mengenai busana klasik tempatan. FOTO Aswadi Alias.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Melangkah masuk saja ke kediamannya, bak butik menjual pelbagai busana klasik tempatan. Lebih mengejutkan, beliau mempunyai dua rumah khas untuk menyimpan koleksi pakaian dan aksesori yang dimiliki dalam tempoh lebih 30 tahun. Jumlahnya? Ribuan!

Tidak sekadar menyimpan hasil sentuhannya di kediaman peribadi, ada antara koleksi peribadinya disimpan di sebuah muzium di Melaka dan terdapat juga dipamerkan di muzium luar negara.

Sentuhannya dalam karya seni busana klasik tidak sekadar bijak melakar di atas helaian kertas, malah pengetahuan beliau sungguh mendalam dari segi teori dan sejarah awal pakaian yang dihasilkan semula sehingga mendapat kepercayaan negara untuk membentangkannya di negara asing.

Itulah keistimewaan Zubaidah Sual yang kini sudah berusia 66 tahun dan cintanya terhadap busana dan aksesori klasik Malaysia tidak pernah padam meskipun sudah melepaskan kerjayanya sejak 2009 sebagai Penolong Pengarah di Istana Budaya.

“Saya hanya mempunyai latar belakang pendidikan setakat Sijil Tinggi Persekolahan pada 1972. Tidak pernah melanjutkan pengajian lebih tinggi daripada itu,” jelasnya untuk memberi bayangan beliau tidak mempunyai segenggam ijazah apatah lagi doktor falsafah.

Bagaimanapun, baik pelajar sarjana universiti atau pereka fesyen antarabangsa menjadikan beliau sebagai rujukan penting sama ada untuk menyiapkan naskhah kajian atau menghasilkan karya fesyen yang akan dipentaskan secara eksklusif di pasaran antarabangsa.

Mengimbau kembali pembabitan awalnya dalam bidang itu, Zubaidah berkata, selepas tamat persekolahan dia mendapat kerja sebagai Penolong Kurator, Bahagian Etnologi Dalam Pengumpulan Tekstil dan Barang Kemas di Jabatan Muzium Malaysia pada 1974.


PELBAGAI jenis busana klasik di seluruh Malaysia dimiliki Zubaidah. FOTO Aswadi Alias.

“Sebelum bekerja, ibu menghantar saya mengikuti kelas menjahit dan saya menganggap kelas seperti itu sebagai kemahiran yang diperlukan oleh seorang wanita.

“Apabila mula bekerja, setiap hari di tempat kerja saya perlu memahami mengenai tekstil dan pelbagai barang kemas negara yang mempunyai nilai sejarah tersendiri. Dari situ saya mula terfikir, ketekunan ketika mengikuti kelas menjahit sebenarnya memberi bayangan yang saya akan berkecimpung dalam dunia tekstil atau busana,” katanya.

Menyambung kembali, katanya, sebagai pembantu kurator sudah pasti dia perlu mempunyai pengetahuan dari segi sejarah dan keistimewaan setiap koleksi tekstil dan barang kemas yang dipamer kepada pengunjung.

“Jadi, setiap hari hidup saya tidak sekadar melakukan kerja di pejabat, malah mencari maklumat sebanyak mungkin menerusi buku yang mudah didapati di tempat kerja dan Perpustakaan Negara.

“Malah, saya juga mudah faham mengenainya kerana setiap hari menguruskan koleksi tekstil dan ilmu yang didapati daripada bacaan pula menceritakan mengenainya. Setiap hari saya tidak pernah mensia-siakan waktu untuk menggali ilmu mengenai tekstil atau busana klasik kerana ia amat menarik,” katanya.


ANTARA koleksi yang pernah dihasilkan untuk sesi penggambaran di luar negara. FOTO Aswadi Alias.

Beliau berkata, bermula hanya sebagai minat, kemudian dia ditawarkan biasiswa kerajaan untuk mengikuti kursus sijil perlindungan tekstil di United Kingdom pada 1980 hingga 1981. Kemudian, ditawarkan lagi mengikuti kursus sama tetapi mendapat biasiswa daripada Switzerland pada 1991 di negara berkenaan.

“Selepas mendapat sijil berkenaan, saya menjadi lebih serius mempelajari dan membuat kajian tekstil klasik dan aksesori Malaysia untuk digunakan dalam bidang pendidikan dan juga pembentangan di luar negara.

“Saya juga kerap mengikuti tokoh budaya Malaysia, Azah Aziz untuk membentangkan dan berkongsi pengetahuan mengenai budaya Malaysia ke luar negara. Beliau bukan sekadar guru bagi saya, malah dianggap ibu dan kakak,” katanya.


ZUBAIDAH (dua dari kanan) ketika mengikuti kursus di United Kingdom. FOTO Aswadi Alias.

Menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, katanya, dia pernah mendapat kepercayaan untuk membentangkan koleksi emas Malaysia di California, Amerika Syarikat sekitar 1988 atas jemputan pihak Muzium Asia Pasifik Pasadena.

“Bagi memenuhi jemputan itu, saya dan seorang lagi rakan perlu membawa barang kemas dari Malaysia ke New York. Semua barangan berharga itu dimasukkan di dalam beberapa beg jinjit dengan kawalan keselamatan yang tinggi.

“Bermula dari lapangan terbang di Malaysia, lapangan terbang transit sehingga ke pintu masuk muzium, saya dan rakan diiringi pegawai keselamatan bersenjata api dan menaiki kenderaan bercermin gelap,” katanya.

Tambahnya, dengan kawalan rapi dan tidak boleh didekati sesiapa pun, perasaan gentar sememangnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Bagaimanapun, segalanya berbaloi apabila melangkah masuk ke muzium berkenaan.

“Ketika sesi pembentangan koleksi emas negara, sangat ramai pengunjung yang datang untuk mendengar pembentangan daripada saya. Ketika itu, saya berasa puas kerana jumlah pengunjung itu menunjukkan betapa menarik dan bernilainya koleksi emas Malaysia di negara asing.

“Terasa amat dihargai. Apatah lagi sebaik selesai sesi pembentangan penonton memberikan tepukan yang gemuruh. Ia juga bermaksud mereka minat untuk mendengar pembentangan yang saya sampaikan,” katanya.


ZUBAIDAH (kiri) mendapat jemputan pereka fesyen terkenal, Datuk Jimmy Choo untuk menghasilkan koleksi kasut bermotifkan Malaysia. FOTO Aswadi Alias.

Penerima Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) daripada Yang di-Pertuan Agong Ketiga Belas, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2009 itu juga menjawat pelbagai jawatan dalam organisasi warisan seperti pernah menjawat Ahli Lembaga Adat Muzium Negeri Selangor dan Panel Pakar Pembelian Harta Kebudayaan Negara Jabatan Muzium Negara.

Tidak sekadar membuat pembentangan dan perkongsian ilmu di dalam dan luar negara, penerima Tokoh Wanita Negeri Johor 2017 ini juga aktif menulis pelbagai buku dan menyumbang penulisan berkaitan busana klasik dan tradisional Malaysia.

Setakat ini beliau sudah menerbitkan naskhah Busana Melayu, Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, Citra Busana Tradisional Malaysia dan Kegemilangan Warisan Emas.

Ketika membelek buku yang pernah dihasilkannya, Zubaidah spontan berkata dengan nada perlahan, jika umurnya panjang, dia mahu menghasilkan buku meja kopi untuk memudahkan orang sekarang merujuk busana kita yang sejati.


BERSAMA pelbagai buku yang dihasilkan. FOTO Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:00 AM