AKTIVITI mengutip sampah dijalankan penduduk kampung. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Asmidar Zainol
metahad@hmetro.com.my

Tidak seperti masyarakat tanah besar, di kampung atau pekan, masyarakat pulau lebih sukar untuk mendapat akses segera kepada kemudahan penting termasuklah perkhidmatan kesihatan.

Andai isu itu diletakkan sepenuhnya pada bahu pihak berkuasa tempatan dan kepemimpinan masyarakat semata-mata, ia tidak memadai untuk mendekatkan jurang baik dari segi infrastruktur, ekonomi dan pendidikan.

Justeru peranan aktif perlu dimainkan komuniti terutama pemain industri yang dekat dengan masyarakat pulau seperti Kementerian Pelancongan serta persatuan yang berkaitan dengan bidang pelancongan atau kebajikan.

Contohnya peranan dimainkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Sabah dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna (PPS) apabila bertindak menganjurkan program Voluntourism Pulau Omadal, baru-baru ini.

Program sehari di pulau berkenaan disertai 73 sukarelawan dari Semporna, Keningau, Kudat, Kota Kinabalu dan Lahad Datu menampilkan pelbagai aktiviti memfokuskan aspek pendidikan serta pembangunan sosioekonomi penduduk.

Menurut Ketua Program, Annuar Abdullah atau lebih dikenali sebagai ND, program berkenaan menyasarkan aspek mendidik penduduk setempat mengenai penjagaan kesihatan dan alam sekitar bagi menjamin kelestarian produk pelancongan di negeri ini terutama di Semporna.


KANAK-kanak beratur mendengar taklimat kesihatan. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

“Seperti yang kita tahu Semporna menjadi tumpuan pelancong yang tidak saja ingin menikmati keindahan pulau dan karangan laut, juga budaya masyarakat setempat dan juga kaum Pala’u atau Orang Laut.

“Oleh itu, bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar demi kelestarian dan kelangsungan industri pelancongan, MOTAC Sabah bersama PPS mengambil inisiatif menganjurkan program voluntourism ini,” katanya.

Annuar berkata, sebelum menganjurkan program berkenaan, pihaknya turun padang terlebih dulu bagi meninjau keperluan penduduk di pulau berkenaan.

“Memandangkan ini adalah program pertama anjuran PPS, kami berharap ia meninggalkan impak yang baik pada masyarakat setempat dan juga pada pihak penganjur.

“Setelah beberapa kali ke sini, kami dapat maklumat bahawa penduduk kampung memerlukan pemeriksaan kesihatan dan bekalan ubat-ubatan memandangkan perjalanan untuk ke hospital agak jauh selain membantu masyarakat Pala’u.

“Kami berhasil membawa lebih 10 doktor serta jururawat dari hospital kerajaan dan swasta untuk memberi perkhidmatan saringan kesihatan.

“Selain itu ada juga program kesihatan iaitu aktiviti memberus gigi dan taklimat ringkas kepada 100 kanak-kanak di pulau ini. Kami mendapat kerjasama baik daripada masyarakat pulau,” katanya.


WARGA emas menunggu giliran mendapatkan pemeriksaan kesihatan. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Selain pemeriksaan kesihatan, dalam program berkenaan pihaknya menganjurkan aktiviti gotong-royong dalam membersihkan persekitaran kampung dan pulau.

“Kami mengumpul lebih 300 peserta bagi aktiviti gotong-royong. Dalam program itu hampir 120 kilogram botol plastik berjaya dikutip dan dikumpulkan.

“Botol ini akan dihantar ke Rumah Tetamu ND Divers yang turut berperanan sebagai ‘Pusat Kitar Semula Terapung’. Sebenarnya botol terbabit untuk kegunaan pertanian rumpai laut di Pulau Bum Bum,” katanya.


KANAK-KANAK ceria menunjukkan kad kesihatan dan berus gigi yang diperoleh. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Sukarelawan, Dr Chan Hai Feng, 29, berkata, rata-rata penduduk yang datang memberikan kerjasama sepenuhnya dan teruja mendapatkan saringan kesihatan.

“Memandangkan pulau ini tidak mempunyai klinik kesihatan, kehadiran kami begitu dialu-alukan oleh penduduk tempatan dan kami mendapat peserta semuda setahun hingga 70 tahun.

“Masalah yang biasa kami temui pada kanak-kanak pulau ini ialah kekurangan nutrisi, masalah penyakit kulit, cacing, kutu dan sebagainya.

“Manakala bagi golongan dewasa kami memberi tumpuan kepada saringan penyakit tuberkulosis (TB), kurang darah, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Bagi pesakit TB, kami maklumkan kepada Klinik Kesihatan Semporna untuk tindakan selanjutnya kerana penyakit terbabit perlukan pemantauan dan kawalan,” katanya.

Tambah Chan, ubat-ubatan seperti ubat selesema, gastrik, ubat muntah, cirit birit, ubat cacing dan vitamin diberikan kepada penduduk pulau berkenan.


DR Chan (kanan) memeriksa seorang remaja. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Bagi ketua kampung Pulau Omadal, Mohd Jimlan Panglima Sabtu Hari, usaha yang dilaksanakan oleh MOTAC Sabah dan PPS itu amatlah dinanti-nantikan seluruh masyarakat pulau terbabit.

“Saya mewakili masyarakat di pulau ini amat berterima kasih kepada penganjur kerana memilih pulau ini sebagai lokasi program mereka.

“Segala perancangan berjalan dengan lancar dan teratur. Saya dapat lihat penduduk kampung gembira kerana selain dapat berjumpa dengan orang luar, mereka berpeluang menjalani saringan kesihatan tanpa perlu ke hospital di bandar.

“Kanak-kanak juga tampak teruja kerana dapat belajar cara memberus gigi dengan betul dan ada antara mereka kali pertama memberus gigi. Nampak saja program ini mudah tetapi bagi anak-anak kami ia pengalaman baharu.

“Semestinya saya dan penduduk berharap lebih banyak jabatan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) datang dan melawat Pulau Omadal sebagai destinasi pelancongan selain lokasi mereka mengadakan program komuniti,” katanya.

Untuk rekod, Pulau Omadal terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Semporna dengan menaiki bot dan didiami hampir satu ribu penduduk berketurunan Bajau dan Pelahu.


SEORANG kanak-kanak mendapatkan perkhidmatan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 6:01 AM