ZAKARIA (tengah) bersama anggota renjer taman yang juga barisan hadapan MBSA.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

LOKASI rekreasi, Taman Tasik Shah Alam yang terletak di Seksyen 14 bandar raya berkenaan, hampir setiap masa dipenuhi orang ramai yang berkunjung untuk bersantai dan beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan.

Keindahan persekitaran yang mengekalkan alam semula jadi menjadi antara faktor menarik pengunjung untuk menjadikan lokasi itu sebagai pilihan beristirahat pada hujung minggu dan cuti umum.

Jumlah kunjungan yang menggalakkan dengan purata harian mencecah 1,000 orang mendorong penyelenggara taman tasik itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pelbagai kemudahan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Ini termasuk rondaan renjer berbasikal sebagai usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan yang dapat mengurangkan risiko pengunjung menjadi mangsa kegiatan jenayah, selain mengekang kegiatan vandalisme.

Seramai 18 anggota penguatkuasa Unit Renjer Taman, Jabatan Penguatkuasaan MBSA, bertugas secara dua syif iaitu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan 3 petang hingga 12 tengah malam supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih cekap.


MENERIMA aduan pengunjung ketika rondaan.

Kawasan pemantauan dan rondaan bukan saja sekitar Taman Tasik Shah Alam, malah diperluaskan ke lokasi rekreasi lain di Tasik Seksyen 7, Dataran Kemerdekaan, Laman Budaya dan Galeri Shah Alam.

Pegawai Penyelia Seksyen Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) dan Renjer Taman, Zakaria Mat Piah berkata, Unit Renjer Taman diwujudkan pada 2011 bawah seliaan Jabatan Penguatkuasaan dengan 12 anggota.

Namun, unit berkenaan kemudian ditumpangkan ke Jabatan Taman dan Rekreasi (kini Jabatan Landskap) sehingga 2016. Pembentukan unit ini pada awalnya adalah bagi membantu dan memantau setiap program anjuran MBSA, selain menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan.

“Pada 2017, Unit Renjer Taman dikembalikan ke Jabatan Penguatkuasaan selepas penjenamaan semula. Malah, unit ini juga dibekalkan basikal lasak ‘mountain bike’ untuk digunakan dalam rondaan seharian,” katanya.

Katanya, rondaan berbasikal di Taman Tasik Shah Alam dan Dataran Kemerdekaan dijalankan pada sesi pagi dan petang berikutan kedua-dua kawasan berkenaan paling besar jumlah pengunjungnya.

Selain itu, Unit Renjer Taman bertanggungjawab memberi bantuan untuk kawalan keselamatan dan lalu lintas sewaktu apa-apa acara yang berlangsung di kawasan Taman Tasik Shah Alam, Laman Budaya, Galeri Shah Alam dan Dataran Kemerdekaan.

Bagi mencegah pelanggaran undang-undang oleh orang awam di kawasan rondaan, Unit Renjer Taman dibenarkan mengenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005 dan Undang-Undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007.

“Antara kesalahan sering dilakukan pengunjung ialah meletakkan kenderaan bermotor di kawasan berumput atau lorong pejalan kaki dalam taman, menjaja tanpa lesen, membuang sampah dan memancing.

“Ada segelintir pengunjung melakukan vandaslisme dalam kawasan taman termasuk merosakkan tandas, alatan mainan dan peralatan lain yang disediakan untuk kegunaan pengunjung.

“Malah, ada juga pengunjung mengambil kesempatan mencuci kenderaan menggunakan air tasik,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya akan sentiasa berada di kawasan tumpuan orang ramai berkenaan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan dan keyakinan orang ramai yang beriadah. Ia juga langkah yang mampu menjadikan taman rekreasi berkenaan setanding dengan taman seumpamanya di luar negara.


KAWASAN tasik jadi tumpuan hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:31 PM