SENTIASA komited dalam membuat kajian komposisi muzik. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Sejak usia tujuh tahun, irama dan lagu sudah mula meniti dalam jiwanya. Meskipun ketika itu hanya tahu meniru irama yang didendangkan pemuzik terkenal, kini selepas 35 tahun, beliau boleh tersenyum apabila irama ciptaannya diikuti dan dipelajari orang lain.

Mempunyai kepakaran dalam bidang komposisi muzik, Prof Madya Tazul Izan Tajuddin yang kini Dekan Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak menoleh ke belakang untuk mengasah bakatnya dalam bidang muzik.

Minat dan cintanya terhadap muzik bermula dengan bermain melodian pada usia tujuh tahun. Perlahan-lahan dia beralih ke gitar, keyboard dan piano kemudian mampu mencipta nota muzik yang mengalunkan irama tersendiri sehingga meraih pelbagai anugerah bukan saja di Malaysia malah antarabangsa.

Anak kedua kepada pasangan Tajuddin Chopot dan Norzian Nusi ini sungguh bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada ibu dan bapanya meskipun kedua-duanya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang muzik.

Apatah lagi pada era 1990-an, bidang itu bukan sesuatu yang menjadi pilihan ramai untuk mempelajarinya pada peringkat universiti kerana masih kabur mengenai kemampuannya mencipta kerjaya yang setaraf dengan bidang profesional lain.


TAZUL (kanan) bersama komposer Itali, Franco Donatoni di Granada, Sepanyol pada 1996.

Tazul berkata, beliau memandang muzik sebagai sesuatu yang perlu dipelajari secara profesional ketika dia mula bermain gitar kerana ketika itu, alat muzik berkenaan sukar dikendalikan berbanding piano atau keyboard yang mudah menzahirkan irama dan membentuk sebuah muzik.

“Saya mengenali gitar pada usia 15 tahun dan tidak dapat dipastikan milik siapa kerana ada di rumah sama ada ibu atau bapa saudara. Saya mula bermain mengikut gerak hati dan agak sukar kerana kita perlu bijak memetik tali bagi menghasilkan irama.

“Gitar yang saya gunakan itu agak besar dan talinya juga keras. Bagaimanapun, saya tetap menggunakannya walaupun tidak sesuai. Dari situ, saya mula bermain mengikut naluri kemudian perlahan-lahan mempelajari nota muzik yang lain,” katanya yang mempunyai pengalaman 28 tahun dalam bidang komposisi muzik.

Katanya, ketika melanjutkan pelajaran di UiTM pada 1988 sehingga 1991, beliau masih tidak mengetahui hala tuju kerjaya dalam bidang itu kerana hasratnya cuma mempelajari muzik sebanyak yang boleh di universiti.


BERSAMA juri dan komposer Jepun, Joji Yuasa pada 2002 selepas memenangi Takemitsu Award.

Tambahnya, selama empat tahun pengajian diploma itu beliau menghabiskan banyak masa mempelajari tiga bidang muzik utama iaitu klasik, moden dan tradisional dari pagi hingga malam kerana terlalu minat untuk mendalaminya.

“Sebelum belajar di universiti, banyak masa dihabiskan dengan hanya bermain mengikut rentak hati. Oleh itu, dalam tempoh empat tahun di universiti, saya perlu mengganti masa yang terbuang sebelum ini dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Jika ada waktu berehat, saya akan menggilap pengetahuan untuk bermain gitar dan menyanyi kerana di UiTM ketika itu, kita perlu menguasai kedua-dua bidang berkenaan. Saya tidak pernah berasa bosan malah senang untuk terus mempelajarinya,” katanya.

Kesungguhannya menelaah lapan jam sehari akhirnya berbaloi kerana beliau berjaya melanjutkan pelajaran sehingga peringkat doktor falsafah di University of Sussex, United Kingdom pada 2001 selepas mengikut program sarjana di Carnegie Mellon University, Amerika Syarikat dari 1994 hingga 1996.

Mengimbau kembali kisahnya ketika belajar pada peringkat sarjana, katanya, ketika itu dia mula membuka lembaran baru dengan mempelajari dunia muzik antarabangsa dan meneliti setiap irama yang dihasilkan untuk menimba ilmu.

“Di Amerika Syarikat juga saya sentiasa memperuntukkan masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk mendengar pelbagai jenis muzik dan perpustakaan universiti sudah menjadi rumah kedua kerana terlalu kerap ke sana untuk belajar.

“Saya masih ingat ketika satu sesi pembentangan, pelajar dari Amerika Syarikat terkejut dengan pendedahan saya mengenai seorang komposer yang berasal dari negara mereka dan saya lebih memahami mengenainya. Bagi saya, mempelajari dengan mendalam memberi kepuasan tersendiri,” katanya.


TAZUL memberi penjelasan mengenai karyanya sebelum persembahan bersama komposer Jepun, Toshio Hosokawa di Takefu International Music Festival, Jepun pada 2003.

Tambahnya, selepas tamat pengajian sarjana, pihak universiti mencadangkan dia mempelajari komposisi muzik di Sepanyol bagi meluaskan lagi ilmunya dalam bidang itu dan lucunya, apabila berada di negara berkenaan, sekumpulan pelajar di negara itu hairan dengan kehadirannya.

“Di Sepanyol, saya mengikuti kursus jangka pendek dengan seorang komposer terkenal dan dia mempunyai ramai pelajar tempatan. Kehadiran saya agak pelik bagi mereka kerana tidak pernah ada rakyat Malaysia yang datang berguru dengan komposer berkenaan selain saya.

“Pengalaman itu saya gunakan sebaik mungkin untuk menggilap ilmu dalam bidang muzik komposisi. Saya mahu mengembangkan bidang ini di Malaysia kerana sekitar 1996, seni muzik belum popular.

“Sehinggalah saya melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah, saya tidak pernah dengar orang kita terbabit dalam bidang pengajian komposisi muzik. Mungkin saya orang yang pertama,” katanya sambil tersenyum.

Kepintarannya dalam bidang muzik bukan sekadar di universiti, malah ketika di United Kingdom beliau sudah bekerja sebagai komposer muzik bebas untuk persembahan muzik di negara berkenaan dan pernah mengendalikan orkestra kamar di Amerika Syarikat. Setakat ini, beliau sudah mempersembahkan 100 hingga 150 muzik komposisinya di Malaysia dan luar negara.


BERAKSI sebagai konduktor di konsert UiTM-klpac Malaysian Composers Concert Series.

Meskipun membina pengalaman di bumi asing, Tazul mempunyai jiwa yang kuat untuk mengetengahkan muzik komposisi budaya Malaysia dan sehingga kini, beliau sudah mengadakan100 hingga 150 persembahan di 17 negara menerusi 50 karya yang kebanyakannya dalam bahasa Melayu.

Sentuhan seninya dipersembahkan pada 50th Anniversary Malaysian Independence di London, Cadogan Hall, Dewan Filharmonik Orkestra, Ann tij di Amsterdam, Opera Puteri Saadong, Tabernacle, Nottinghill di London dan Tokyo Opera City Centre di Jepun.

Antara pencapaian yang boleh dibanggakan tentulah Opera Puteri Saadong pada 2015 yang menerima pengiktirafan tempatan dan asing. Malah, hasil seni muziknya juga mengukir namanya sebagai rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima hadiah pertama dalam Toru Takemitsu Composition Award di Tokyo pada 2002 menerusi penghasilan komposisi muzik, Tenunan II.

Selain itu, hasil karyanya, Gamelbati III turut berjaya mengangkat nama Tazul sebagai rakyat Malaysia pertama meraih hadiah pertama Komposisi Muzik Terbaik dalam Lutoslawki Composition Award 2005 di Warsaw, Poland.

Pada 2017, beliau juga menerima pengiktirafan di Malaysia apabila diumumkan sebagai penerima tertinggi dalam Anugerah Akademik Negara, bidang seni dan kreativiti (muzik komposisi) sekali gus terus menjadi perangsang beliau menaburkan bakti dalam bidang pendidikan di negara ini.


PERSEMBAHAN Opera Puteri Saadong di Kanazawa Citizen’s Art Centre, Jepun sebagai komposer dan konduktor bersama watak utama, penyanyi dan pemuzik pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:01 AM