KEBUN komuniti isi masa lapang pesara. FOTO Supian Ahmad
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

MELANGKAH masuk ke kebun komuniti diusahakan Persatuan Penduduk Lapan Timur (PP8T), Seksyen 8, Shah Alam, sesiapa saja tentu terpegun dengan deretan tanaman seperti sawi, bayam, cili, terung, bendi, timun, tomato, peria, jagung, aneka ubi dan pelbagai tanaman herba lain.

Suasananya seperti berada di ladang sayur yang diusahakan secara komersial apabila ia lengkap dengan batas khusus dan tersusun serta tapak tanaman berteres, selain sistem saliran air yang sempurna.

Kebun komuniti seluas hampir satu hektar yang diusahakan sejak Julai 2014 itu adalah projek perintis Program Pertanian Bandar hasil inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memastikan bandaraya berkenaan dipenuhi kawasan hijau, di samping dapat mewujudkan aktiviti untuk komuniti setempat.

Sejak kebun itu dilancarkan di kawasan tanah lapang di Jalan Jaluran 8/3, Seksyen 8, ia menarik minat ramai penduduk setempat untuk datang bercucuk tanam dan menjadikan ia aktiviti mengisi masa lapang.

Seramai 40 peserta kebun komuniti yang rata-ratanya adalah golongan pesara dan hasil tanaman kemudian dituai untuk kegunaan sendiri dan selebihnya dikongsi bersama penduduk setempat.

Penasihat Kebun Komuniti Seksyen 8 Timur, Daud Yusof berkata, setiap peserta mempunyai tugas masing-masing seperti memastikan tanaman diselenggara dengan baik dan sentiasa disiram mengikut waktu, menggembur tanah, membaja, merumput, di samping mengawal penyakit serta serangga perosak.


SEORANG penduduk melakukan kerja merumput di batasnya. FOTO Supian Ahmad

“Kami menyambut baik inisiatif dijalankan MBSA kerana secara tidak langsung tanah terbiar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk projek pertanian bandar. Malah, MBSA menyediakan pelbagai keperluan dan kelengkapan pada peringkat awal kebun komuniti ini diusahakan.

“Ini memudahkan peserta melakukan kerja bercucuk tanam dan selepas lima tahun menikmati hasilnya, kami berjaya membuktikan pertanian yang suatu ketika dulu dianggap aktiviti hanya sesuai di kampung kini boleh dilakukan di kawasan bandar,” katanya.

Katanya, amalan berkebun secara komuniti juga membuka peluang kepada golongan muda mempelajari kaedah berkebun seterusnya menyokong usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghijaukan kawasan di sekitar kediaman.

“Kebun komuniti yang diusahakan kini menempatkan 63 batas pelbagai tanaman merangkumi sayuran, herba dan buah-buahan. Malah, kami juga berhasil menanam pokok lemon yang lazimnya diimport.

“Sejak ada kebun komuniti ini, kami dapat menjimatkan belanja dapur kira-kira RM30 seminggu berikutan sayuran boleh dipetik sendiri. Lebihan sayuran pula dijual di surau atau dalam program lain anjuran MBSA.


PELBAGAI herba ditanam di kebun komuniti. FOTO Supian Ahmad

“Secara tidak langsung kami menyediakan platform kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan sayur-sayuran pada harga lebih murah dan segar, di samping aktiviti jualan memberi sumber pendapatan tambahan kepada persatuan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian, Jabatan Lanskap MBSA, Majidah Md Ali berkata, program kebun komuniti adalah inisiatif menggalakkan kewujudan persekitaran yang eksklusif ke arah mengajak masyarakat mencapai pembangunan mampan dan sejahtera.

Melalui usaha itu, pencemaran karbon dapat dikurangkan dan mewujudkan kehidupan baik bagi komuniti melalui amalan hijau, di samping memupuk kesedaran bantu pastikan alam sekitar terpelihara.

“Kebun komuniti yang diperkenalkan di bandar tidak sahaja mendidik amalan berkebun secara berkesan, malah mempertingkatkan semangat kejiranan dalam kalangan komuniti setempat.

“Sehingga kini, MBSA mempunyai 16 kebun komuniti pelbagai saiz tanah membabitkan 11 diusahakan berhampiran rumah flat dan lima lagi di kawasan perumahan. MBSA masih membuka permohonan kepada persatuan penduduk yang ingin berkebun,” katanya.

Katanya, MBSA akan bantu dari segi pembelian benih tanaman, baja, pemasangan saliran air, penyediaan peralatan tanaman seperti cangkul serta bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri untuk khidmat nasihat. Peserta juga diberi latihan menerusi bengkel, di samping lawatan ke kebun lain untuk menimba ilmu pengetahuan.


PENYEDIAAN tapak tanaman dilakukan sendiri oleh penduduk. FOTO Supian Ahmad

ANEKA sayur-sayuran ditanam mengikut batas. FOTO Supian Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 10:00 AM