Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

“Saya berusia 26 tahun dan baru tiga tahun bekerja. Sekarang, bayaran ansuran saya kepada pihak bank teruk disebabkan penggunaan kad kredit tidak terkawal,” pengakuan Azri (bukan nama sebenar).

Seorang lagi, Izatul (bukan nama sebenar), 25, pula mengaku dia terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi membayar balik hutang dan kini menanggung komitmen kredit yang tinggi, selain membantu keluarga.

Azri dan Izatul antara golongan muda yang sempat memberi komen ringkas dan mengaku gagal menguruskan kewangan mereka sehingga berdepan masalah bayaran ansuran pembiayaan kepada pihak bank.

Percaya atau tidak, di Malaysia wujud individu yang berusia 18 tahun diisytiharkan muflis. Demikian menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia pada November tahun lalu.

Malah, seramai 64,632 rakyat Malaysia direkodkan muflis dalam lima tahun lalu, membabitkan usia semuda itu hingga 44 tahun. Sebagai tambahan, seramai 13,338 individu berada di dalam belenggu itu pada September 2018.


PENGURUSAN wang yang baik ketika muda bantu ke arah kehidupan lebih selesa pada masa depan. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Hakikatnya, tidak kira membabitkan kadar jumlah muflis atau usia, kedua-dua angka itu membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan negatif bukan saja terhadap aspek sosiomasyarakat, malah berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi makro dalam jangka panjang.

Membincangkan dari segi usia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan, mereka yang berusia antara 30 hingga 40 tahun paling ramai merujuk kepada agensi berkenaan berkaitan pengurusan kredit.

Aktiviti pengurusan kredit yang dikenali sebagai Program Pengurusan Kredit (PPK) yang dijalankan sejak 2006 sehingga Disember 2018 sudah membantu 256,579 peserta yang berhutang atau pengurusan kredit membabitkan 19,345 kes hutang dengan nilai tunggakan RM777.1 juta.

Berdasarkan statistik AKPK, seramai 246,041 peserta program itu direkodkan setakat tahun lalu dan 100,543 orang atau 40.9 peratus membabitkan golongan berusia 30 hingga 40 tahun.


AKTIVITI beli-belah yang tidak terkawal disebabkan pengurusan wang yang lemah. FOTO Salhani Ibrahim

Menurut Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria, saban tahun kumpulan usia itu mendominasi jumlah peserta pengurusan kredit berikutan beberapa faktor antaranya perancangan kewangan lemah dan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata, isu pengurusan wang yang lemah menjadi punca paling popular dalam kalangan peserta PPK kerana mereka mula mengumpul masalah kredit bermula usia antara 20 hingga 30 tahun.

“Pada usia 20 hingga 30 tahun, kebanyakan mereka masih ‘lembut’ dan leka dengan aktiviti perbelanjaan. Contohnya, sebaik saja tamat pengajian dan mula bekerja, senario membeli kenderaan menjadi perkara biasa.

“Ketika itu, mereka tidak ada masalah untuk membuat pinjaman kerana tiada komitmen lain dan membuat keputusan membeli kereta yang diidamkan dengan kadar bayaran bulanan agak tinggi.

“Pada masa sama, perbelanjaan menggunakan kad kredit tanpa kawalan juga berlaku kerana mereka yang baru bekerja ini, mudah mendapatkan kad berkenaan kerana komitmen kredit setiap bulan masih berada di tahap mampu diselesaikan,” katanya.

Jelasnya lagi, mereka yang berusia dalam kelompok 20 hingga 30 tahun juga mudah untuk mendapatkan pinjaman peribadi dengan perbelanjaan ke atas sesuatu aset tidak kekal seperti membayar hutang kad kredit, gaya hidup dan perbelanjaan perkahwinan.

“Dalam tempoh 10 tahun itu pelbagai komitmen kredit yang perlu ditanggung dan mungkin pada masa itu masih mampu dibayar kerana tidak mempunyai tanggungan lain seperti isteri atau anak,” katanya.


NOR Fazleen mendedahkan mereka berusia antara 30 hingga 40 tahun paling ramai dapatkan khidmat pengurusan kredit. FOTO Rohanis Shukri

Dari segi statistik mengikut status, 78.1 peratus atau 192,122 peserta PPK adalah mereka yang sudah berkahwin dan jumlah itu jauh meninggalkan status bujang yang menyumbang pada kadar 14.9 peratus kepada 36,708 peserta.

Menjelaskan lagi berkenaan perkara itu, Nor Fazleen berkata, selepas berusia 30 tahun, ramai sudah mula memiliki keluarga dan masalah pengurusan hutang mula timbul ketika itu kerana terdapat pelbagai komitmen tambahan perlu ditanggung.

Katanya, komitmen tambahan perbelanjaan seperti ansuran bulanan rumah, perbelanjaan dapur, bil hospital, wang persekolahan anak dan perbelanjaan gaya hidup keluarga serta diri sendiri.

“Secara ideal, komitmen hutang kepada bank tidak boleh melebihi 40 peratus daripada pendapatan bersih setiap bulan bagi memastikan perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik.

“Maka, perkara utama di sini ialah pada usia 20 hingga 30 tahun adalah tempoh waktu yang paling penting bagi memastikan kita bijak menguruskan wang dan tidak terperangkap dengan bebanan hutang tambahan apabila usia meningkat,” katanya.


PRIVASI setiap pelanggan di AKPK dijaga dan tidak didedahkan. FOTO Rohanis Shukri

PPK diwujudkan bagi membantu individu yang berdepan masalah kredit untuk menyelesaikan hutang menerusi pelan pembayaran balik yang sesuai dengan keperluan peminjam secara khusus.

Menerusi program ini, AKPK menjadi pihak ketiga antara peminjam dan pihak bank bagi menyelesaikan pembayaran hutang individu berkenaan. Langkah menstruktur semula pembayaran tertakluk kepada budi bicara pihak bank. Khidmat ini diberikan percuma kepada orang ramai tanpa membabitkan pihak lain.

Nor Fazleen berkata, orang ramai diingatkan tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan menjadikan PPK sebagai batu loncatan untuk menyelesaikan masalah itu kerana AKPK bekerjasama erat dengan semua bank dan sentiasa memantau sebarang aktiviti yang cuba mengambil kesempatan.

“Sebelum kita membantu mereka menstrukturkan semula pembayaran, individu itu perlu menunjukkan secara jelas aktiviti kewangan mereka kepada kami.

“Mengikuti program ini bukan sesuatu yang amat menggembirakan kerana nama mereka sudah disenaraikan sebagai peserta AKPK di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

“Perkara ini bermakna, pihak bank sudah mengetahui sejarah pembayaran semula individu itu dan agak sukar untuk mendapat kelulusan bagi permohonan pembiayaan kewangan yang baru,” katanya.


AKPK sentiasa menyediakan perkhidmatan pengurusan wang yang diperlukan orang ramai secara percuma. FOTO Rohanis Shukri

Dari tahun ke tahun, jumlah permohonan PPK sentiasa meningkat dengan rekod 8,172 individu pada 2006 kepada 256,579 individu pada tahun lalu.

Nor Fazleen berkata, kadar pertumbuhan itu tidak mencerminkan perkara yang negatif sepenuhnya kerana perkara itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berdepan dengan masalah kewangan semakin berani tampil untuk menyelesaikannya bagi mengelakkan sebarang masalah lebih buruk pada masa depan.

“Maksudnya, kini rakyat di negara ini kian peka dengan berusaha cari jalan untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka. Mereka tahu jika tidak mengambil sebarang tindakan seperti mendapatkan bantuan daripada AKPK, mereka mungkin bakal berdepan tindakan undang-undang oleh pihak bank.

“Seperti kita tahu, sekiranya gagal melunaskan bayaran semula daripada pihak bank, pelbagai masalah lebih rumit akan mereka hadapi dan paling mengerikan tentu jika diisytiharkan muflis,” katanya.


KAUNSELING pengurusan wang wajib diikuti semua peserta. FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:09 AM