JOHAN bersama pewakaf bergambar dengan kakitangan Jabatan Awquf selepas berbincang mengenai klinik bergerak. FOTO Ihsan MAPIM
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

MISI menyelamatkan Al Quds bermula di Malaysia, bunyinya mungkin janggal tetapi itulah pengiktirafan diberikan Jabatan Awquf Aqsa kepada Sekretariat Wakaf dan Infaq Aqsa (WIA) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk menguruskan Kompleks Masjidil Aqsa.

Ia adalah kesempatan pertama bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini untuk menjaga tempat ketiga suci bagi umat Islam itu yang berterusan diserang rejim Zionis sejak 1948 kerana mahu menakluki kawasan kompleks berkeluasan 144,000 meter persegi itu sehingga hari ini.

Keadaan itu membangkitkan rasa marah umat Islam dari seluruh dunia kerana bukan saja kawasan sekitar yang asalnya milik penduduk Palestin dirampas setiap hari tanpa gagal, kawasan yang menempatkan Masjid Kubah As Sakhra di mana Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit seperti tercatat di dalam peristiwa Israk dan Mikraj turut ‘dicabul’ Zionis.

Pengarah WIA Johan Ariff Ismail berkata, sejak dua tahun lalu, Jabatan Awquf, agensi yang diberi tanggungjawab untuk mengurus dan menjaga keseluruhan kompleks Al Aqsa, bersetuju memberi mandat kepada pihaknya menjana dana untuk membiaya urusan di situ.

Meliputi penyelenggaraan, utiliti, pentadbiran, baik pulih, rehabilitasi, kemudahan awam, pendidikan dan perpustakaan, objektifnya adalah untuk mengumpul RM6,300 (AS$1,500) untuk setiap meter persegi bagi membolehkan kawasan itu dijaga dan diimarahkan dengan baik.


JOHAN bersama Ketua Pengarah Jabatan Awquf Sheikh Mohammed Azam Abdel Hafiz al khatib al tamimi. FOTO Ihsan MAPIM

Katanya, sasaran jumlah dana yang ingin dikumpul adalah RM924 juta dengan jangkaan aktiviti pelaburan yang dikenal pasti akan menjana sehingga RM168 juta setahun dan ia sudah dimulakan secara berperingkat sejak 2017.

“Kita pecahkan kepada lima kluster iaitu pemulihan dan pemuliharaan, pembinaan institusi, pendidikan, perkhidmatan awam serta penyelenggaraan dan pengurusan. Semua itu sebelum ini dikendalikan sendiri Jabatan Awquf, tapi kali ini, ia peluang untuk umat Islam khususnya dari Malaysia berwakaf untuk menjaga Masjidil Aqsa.

“Justifikasinya ialah bukan beli tanah wakaf, tapi jumlah satu meter persegi itu RM6,300, jadi kita darabkan dengan luas keseluruhan. Ia merangkumi restorasi, memelihara dan bina semula pelbagai sudut binaan masjid yang sebelum ini banyak dirosakkan tentera Israel.

“Dengan cara itu, warisan dan khazanah yang ditinggalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW akan kekal terpelihara dan terus diberkati. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melakukannya kerana mungkin tidak ramai mempunyai kesedaran itu walaupun isunya dimainkan di media hampir setiap hari,” katanya.

Di dalam kompleks itu juga ada Masjid Buraq, Masjid Qadim, Masjid Qibli, Masjid Umar dan Masjid Marwan. Ia dikelilingi penempatan Muslim seramai kira-kira 30,000 orang, Armenia (kira-kira 3,000 orang), Kristian (kira-kira 6,000 orang) dan Yahudi kira-kira 5,000 orang.


AKTIVITI mengimarahkan masjid berjalan seperti biasa. FOTO Ihsan MAPIM

Selain penjagaan masjid, antara aspek tidak kurang pentingnya adalah pembinaan institusi seperti perpustakaan, pusat penyelidikan, galeri, markas untuk belia dan wanita termasuk sebuah pusat penerbitan yang akan menjadi rujukan generasi akan datang.

Aktiviti halaqah al-Quran serta pembelajaran menerusi pusat tahfiz juga menjadi satu daripada simbol penyatuan Islam di bumi As Syarif ini kerana rejim Zionis dilaporkan rancak menjadikan belia dan golongan muda sebagai sasaran untuk menghapuskan generasi pelapis yang sanggup berjuang demi Islam.

Johan berkata, antara fakta menarik mengenai kompleks Al Aqsa ialah, ia juga dijaga dan dikawal oleh wanita terdiri daripada ibu tunggal yang kematian suami atau dipenjara di Tel Aviv sejak beberapa tahun lalu dan mereka agresif melawan tentera Zionis yang cuba menceroboh masuk ke masjid.

“Kos untuk menggaji mereka juga sebelum ini dibiayai Jabatan Awquf. Ia meliputi elaun imam jemputan dan rawatib serta kos utiliti.

“Semangat untuk mempertahankan agama sebenarnya bermula di sini ketika kita melihat ibu-ibu bersusah payah menghalau tentera dan juga orang Yahudi yang mencari kesempatan untuk masuk dan menjalankan upacara agama mereka,” katanya.

Menurut beliau, perlu diketahui bahawa kompleks masjid ini adalah satu-satunya kawasan di bumi Palestin yang dikendalikan orang Islam.

“Walaupun ada perjanjian, umpamanya dibenarkan masuk untuk beberapa jam, mereka langgar ikut suka hati dan di sinilah peranan ‘muraabithun’ yang setia menunggu di pintu masuk.


MASJID Kubah As Sakhra juga berada dalam Kompleks Masjidil Aqsa. FOTO Ihsan MAPIM

“Bagi yang ingin berwakaf dan menyumbang, boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB 8602715930 (MAPIM) atau layari www.wakafaqsa.com untuk maklumat lanjut,” katanya.

Menurutnya, di dalam kompleks itu ada 780 pokok zaitun berusia ratusan tahun yang menjadi simbol kekuatan masyarakat Palestin.

Pokok zaitun turut menjadi sasaran kerana Yahudi giat mempromosi pohon gharqad di Baitulmaqdis dan memusnahkan pokok zaitun yang menjadi tarikan untuk pelancong ke bumi yang subur itu.

Katanya, isu mengenai pokok berkenaan turut dibentangkan di dalam Bengkel Khas 360 Aqsa anjuran MAPIM baru-baru ini oleh aktivis Pertubuhan Minbar Al Aqsa, Dr Sameer Saed Al Quds yang mendedahkan, beberapa lokasi turut diserang tentera untuk memusnahkan pokok zaitun.

“Isu mengenai ekskavasi terowong di bawah Masjidil Aqsa juga tidak selesai hingga ke hari ini. Rejim mahu mewujudkan kawasan berongga di bawah tanah supaya kompleks Aqsa ini akan tertimbus sekiranya berlaku bencana seperti gempa bumi dan menggantikannya dengan Haikal Sulaiman.

“Semua ini adalah isu sensitif termasuk pembinaan tembok pemisah sedia ada yang bertujuan menyeimbangkan ancaman terowong rentas sempadan yang dibina pejuang Palestin. Secara mudah, kita hanya ada kompleks Masjid Al Aqsa ini untuk dipertahankan dengan apa cara sekali pun,” katanya.


TENTERA Israel mengawasi persekitaran masjid ketika kaum Yahudi menjalankan aktiviti keagamaan. FOTO Ihsan MAPIM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:07 AM