NABIL mahu pasangan pengacara baru yang serasi dengannya seperti Neelofa. FOTO Asyraf Hamzah
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENGACARA terkenal, Nabil Ahmad bersedia untuk bergandingan dengan mana-mana pengacara wanita bagi menggantikan Neelofa dalam program MeleTOP.

Bagaimanapun Nabil berkata, pengganti itu perlulah setanding atau lebih bagus daripada Neelofa.

“Saya ada beritahu produksi kena cari yang saya selesa untuk bekerjasama. Dalam masa sama, Lofa sudah meletakkan penanda aras tinggi dalam program itu.

“Jadi, kena cari yang boleh layan macam Lofa buat dulu. Saya pun tidak terfikir dan tidak tahu siapa yang betul-betul boleh ganti.

“Soal bersedia dengan sesiapa saja, sudah tentu saya bersedia. Itu secara profesional sebab bekerja. Jadi, kena sedia terima apa saja berlaku,” katanya kepada Harian Metro.

Nabil mengakui meskipun sebelumnya dia banyak kali bergandingan dengan beberapa artis wanita bagi menggantikan Neelofa yang bercuti, keserasian tidak sama.

“Macam sebelum ini, ketika Lofa bercuti, produksi ganti dengan orang lain. Tapi sangat beza dengan yang sementara dan tetap.

“Lagi pula, dengan Lofa kami sudah berkawan lama. Bimbang nanti tersasul sebut nama pula,” katanya.

Ditanya mengenai desas-desus mengatakan tempat itu bakal diisi pengacara, Jihan Muse, Nabil mengakui ada mendengar mengenainya.

”Nama dia ada juga saya dengar disebut-sebut. Cuma, saya tidak mahu nanti orang kata pengulangan.

“Kalau dengan Jihan memang sudah selesa, tapi takut jadi macam Gegar Vaganza pula. Jadi, di mana keunikan MeleTOP nanti? Apa pun, saya okey saja,” katanya.

Dalam siaran langsung MeleTOP pada 3 Disember lalu, Neelofa mengumumkan meninggalkan program itu selepas lapan tahun mengemudinya dengan Nabil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 6:33 PM