ANTARA peserta Gegar Vaganza Musim Ke-6 yang layak ke peringkat akhir di Dewan MBSA, Shah Alam.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


ENAM finalis diumum layak ke peringkat akhir program Gegar Vaganza musim keenam (GV 6) yang bakal berlangsung pada 22 Disember ini.

Mereka terdiri daripada Hady Mirza, Naqiu Boboy, One Nation Emcees, Nurfatima, Jatt dan Sham Visa.

Pada minggu separuh akhir yang berlangsung malam tadi, kesemua peserta diberi dua tugasan menyanyikan lagu solo dan duet bersama artis jemputan pilihan.

Sekali lagi penyanyi dari Singapura, Hady Mirza yang turut berduet dengan Dia Fadila menerusi lagu Kasih Tercipta diumum berada di tempat pertama sekali gus layak ke peringkat akhir.

Sementara Wann dan Noorshila Amin yang berada di dua kedudukan terbawah diumum tersingkir sekali gus gagal mara ke pusingan akhir.

Kategori Artis Cili Padi Paling Power pada minggu ini menjadi milik Hady Mirza.

Antara artis jemputan yang berduet dengan peserta adalah Dia Fadila, Zur Eda, Azmi Saat, Ifa Raziah, Noryn Aziz, Lan Solo, Kopratasa dan Zarul Husin.

GV 6 masih mengekalkan format pemarkahan 100 peratus daripada juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang.

Juri jemputan menampilkan komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:01 AM