ERANZZ
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI kelahiran Malaysia yang memenangi tempat ketiga dalam program realiti di Indonesia, Golden Memories Asia pada Oktober lalu iaitu Eranzz teruja apabila menerima pelawaan daripada penyanyi legenda Hetty Koes Endang untuk menyanyi bersama di konsert penyanyi itu di Malaysia tahun depan.

Eranzz atau nama sebenarnya, Shah Iran Shahdan berkata, jemputan itu sesuatu yang sangat besar untuknya.

“Saya anggap pelawaan ini sebagai satu penghargaan yang sangat tinggi nilainya. Jika diikutkan saya bukan siapa-siapa di Malaysia.

“Semoga impian ini menjadi kenyataan. Menyanyi di hadapan Hetty bagaikan mimpi kerana saya membesar dan bekerja dengan lagu-lagunya,” katanya.

Menurut Eranzz, sepanjang terbabit dalam program itu di Jakarta, dia berpura-pura tidak gemuruh.

“Sewaktu di konsert Golden Memories Asia Oktober lalu, saya hanya berpura-pura tidak gementar walaupun dalam hati Tuhan saja yang tahu.

“Semua peserta yang bertanding dalam program itu sememangnya hebat. Terima kasih sekali lagi bunda Hetty kerana banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar. Semoga tahun 2020 akan menjadi permulaan yang baik untuk saya,” katanya.

Golden Memories Asia adalah pertandingan pencarian bakat nyanyian lagu-lagu nostalgia era 1970-an sehingga 2000 yang diikuti oleh enam negara Asia Tenggara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor Leste.

Bermula dengan 24 peserta, Eranzz berjaya mencuri perhatian juri dan penonton sehingga menamatkan perjalanan di tempat ketiga.

Dalam perkembangan lain, Eranzz kini sedang mencari material baru untuk dijadikan single bagi mengembangkan kerjaya seninya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 6:20 PM