CHES (tudung merah, dari kiri) selepas berbincang dengan peguamnya, Hazizah (tengah, tudung putih) dan seorang lagi peguam.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


“SEHINGGA semalam, tempoh 24 jam sudah berlalu dan saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan. Saya sudah mendapatkan nasihat undang-undang untuk tindakan selanjutnya,” kata rakan baik kepada bekas isteri Dai Farhan, Fatin Nurul Ain Mat Aris yang dikenali Ches Al-Maliki.

Ches berkata, dia juga sudah meminta peguamnya iaitu Datuk Hazizah Kassim untuk mengeluarkan notis tuntutan kepada pihak yang berkenaan.

Menerusi kenyatan ditulis Ches di Facebook, dia juga berkongsi gambar di bilik perbincangan bersama peguam dilantik.

Kelmarin, Ches memberi tempoh 24 jam kepada pendakwah bebas, Da’i Farhan untuk menulis surat rasmi dan membuat permohonan maaf secara terbuka melalui video selepas Farhan menarik balik laporan polis dan tuntutan saman yang dibuat terhadapnya sebelun ini.

“Ia sudah ditarik balik. Pihak yang mahu saman itu sudah memberitahu keluarganya sudah tarik saman dibuat. Mungkin mereka sudah sedar, nak buka fail itu perlukan dollar (wang).

“Saya tuntut pihak berkenaan membuat kenyataan secara terbuka berhubung penarikan saman itu,” katanya.

Sehubungan itu, tempoh 24 jam diberikan Ches bermula jam 7.59 malam bertarikh 9 Disember iaitu kelmarin untuk Farhan membuat tindakan seperti yang dituntutnya.

Pada 28 November lalu, Farhan membuat laporan polis dan tuntutan saman terhadap Ches yang juga rakan baik kepada bekas isterinya.

Ia dibuat Farhan atas dakwaan wanita berkenaan (Ches) dikatakan sudah melakukan fitnah terhadapnya secara menulis surat terbuka mendedahkan konon perkahwinan Farhan bersama isteri kedua dibuat tanpa pengetahuan isteri pertama.

Farhan atau nama sebenar Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad mengakui dia sudah bernikah dengan janda anak lapan iaitu Noorainul Naqim Mohd Radzi atau Dr Aireen di Makkah ketika mengerjakan umrah.

Namun pada 4 Disember lalu, Farhan mengesahkan dia sudah melafazkan cerai talak satu kepada isteri pertamanya menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Farhan bagi mendapatkan komennya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:49 AM