ZED ZAIDI
Amir Abd Hamid & Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@mediaprima.com.my


PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi kecewa dengan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meluluskan permohonan pemendekan tempoh kontrak Ketua Pengarah Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tanpa merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo terlebih dulu.

Zed ketika ditemui berkata, dia tidak tahu kenapa Datuk Hans Isaac selaku Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah bukan eksekutif Finas mendahului Menteri apabila membuat keputusan terhadap Ahmad Idham. Katanya, keputusan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan, menggantung tugas atau memecat Ketua Pegawai Eksekutif Finas adalah di bawah kuasa Menteri.

“Tugas Pengerusi adalah memanjangkan dasar yang dibawa Ketua Pegawai Eksekutif kepada Ahli Lembaga Pengarah sebelum diputuskan oleh setiausaha kementerian.

“Namun, dalam perkara ini, mereka berlebih-lebihan seolah-olah mahu menggugurkan Ahmad Idham, malah membuat sesuatu pengumuman sesuka hati tanpa perbincangan,” katanya ditemui pada Majlis Putera Puteri SAS Diraja Pahang bersama Seniman di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Zed berkata, sebagai ahli berpersatuan, mereka memendam rasa apabila melihat beberapa keputusan diumumkan sendiri oleh Hans.

“Apabila Ahmad Idham tidak lagi menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Finas, bagaimana dengan banyak perancangan dibuat bersama antaranya permohonan rumah untuk artis veteran?” katanya.

Zed berkata, Finas sepatutnya memperjuangkan peluang pekerjaan dengan memperbanyakkan penghasilan filem, bukan sekadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata.

“Caruman KWSP sudah lama kami perjuangkan sebelum Finas. Apa sudah jadi dengan Finas kerana setakat ini kami tidak nampak visi dan misi mereka,” katanya.

Menurut Zed, Finas juga tidak menjemput mana-mana wakil persatuan tetapi mereka sesuka hati membuat sesuatu pengumuman yang disifatkannya seperti syok sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:50 PM