SHAHRULEZAD
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENGARAH terkenal Shahrulezad Mohameddin mengakui kecewa apabila filem Nur yang sepatutnya memulakan penggambaran pada awal tahun depan terpaksa dibatalkan.

Shahrulezad berkata, keputusan itu dibuat selepas hasil perbincangan dengan pihak penerbit, Radius One Sdn Bhd dan Primeworks Studios (PWS).

"Pihak kami memang ada berbincang mengenai masa depan dan hala tuju filem Nur ketika majlis makan malam bersama PWS baru-baru ini.

"Kami sudah berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan itu dan ia bukannya keputusan saya seorang tetapi membabitkan semua pihak.

"Saya sedih apabila projek filem Nur tidak dapat diteruskan tetapi sudah dapat terima hakikat kerana tahu lebih awal,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada pembatalan projek filem Nur berpunca daripada kos yang tinggi, Shahrulezad tidak menafikan perkara itu. "Selain kekangan masa kerana PWS mahu penggambaran filem ini dimulakan lebih cepat awal tahun depan, kos yang tinggi turut menyumbang mengapa projek ini tidak dapat diteruskan.

“Namun, saya terbuka jika ada syarikat korporat atau mana-mana pihak berminat untuk menjadi penerbit bersama filem Nur pada masa depan.

“Pada masa sama, saya bimbang tidak dapat berlaku adil kepada peminat drama Nur nanti kerana idea asal saya untuk projek ini tidak diterima PWS sedangkan idea pertama itu lebih sesuai untuk filem," katanya.

Mengenai penerimaan pelakon pula kata Shahrulezad, dia sudah memaklumkan perkara itu lebih awal kepada barisan pelakon.

"Sebaik saja keputusan itu dibuat, saya terus beritahu kepada semua pelakon.

"Nampaknya mereka faham dan dapat menerima keputusan ini. Namun, saya minta mereka bersedia jika ada perancangan untuk projek seterusnya," katanya.

Bagaimanapun kata Shahrulezad, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menghasilkan drama Nur 3 atau teater muzikal selepas ini.

"Saya berharap peminat tidak kecewa kerana kami ada perancangan untuk hasilkan drama bersiri atau teater muzikal tetapi masih dalam perbincangan lagi,” katanya.

Terdahulu, drama bersiri rantaian popular Nur dan Nur 2 lakonan Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azar Azmi, Azhan Rani, Noorkhiriah dan ramai lagi menjadi fenomena ketika bersiaran di Slot Samarinda TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 4:35 PM