OSMAN (paling kanan) serta Dakshina (dua dari kanan) bersama barisan pelakon filem Garang. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

“SAYA sedih apabila majoriti yang menonton filem berkisarkan Orang Kelainan Upaya (OKU) ini dalam kalangan OKU,” kata Dakshina Muriti mengenai sambutan filem Garang ‘Aku Luar Biasa’ terbitan syarikatnya, Sakti Films Sdn Bhd yang ditayangkan sejak 5 Disember lalu.

Dakshina ketika dihubungi mengakui berasa terkilan apabila filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu kurang mendapat sambutan.

“Kami menghasilkan filem ini untuk mencari dana bagi membina sebuah asrama baru untuk pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat, Johor.

“Bagaimanapun, sejak ditayangkan 5 Disember lalu, tidak ramai yang menyokong filem ini sedangkan ia ada misi besar untuk membantu golongan OKU.

“Malah jalan ceritanya juga menarik apabila memaparkan kisah hidup bekas atlit paralimpik kebangsaan, Izam yang menyertai acara sukan lumba kerusi roda,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelakon OKU Osman Omar menyeru semua pihak memberikan sokongan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu mempromosikan filem berkenaan.

“Jika selama ini warga OKU menyokong filem orang normal, mengapa tidak kali ini masyarakat Malaysia menunjukkan sokongan terhadap filem kami pula. Apatah lagi filem ini sarat dengan mesej dan pengajaran untuk renungan bersama.

“Sekiranya tiada sambutan, tayangan filem ini boleh dihentikan bila-bila masa sahaja. Jika ia terhenti maka terbantutlah misi untuk membantu golongan OKU.

“Saya juga mohon sokongan daripada pihak kerajaan bagi membantu filem ini kerana sesungguhnya usaha untuk menyiapkannya bukan mudah,” katanya.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta termasuk pembikinan dan pemasaran itu dibintangi Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU Fizikal), Osman Omar (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:46 PM