VIDEO muzik Eh dilancarkan sejak 29 November lalu.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


BUAH tangan terbaharu Zizi Kirana berjudul Eh nampaknya berjaya mencuri tumpuan ramai peminat muzik tanah air.

Melodinya hasil kolaborasi Zizi dan Navigator manakala lirik pula nukilan penulis lirik, Mambang serta Zizi sendiri.

Seperti single terdahulu, Eh masih mengekalkan elemen hip hop dengan lantunan rap daripada Zizi.

Bezanya, kali ini Zizi menampilkan elemen tradisional dalam karyanya sekali gus rasa sangat dekat dengan budaya Malaysia.

Secara ringkasnya, Eh berkisar mengenai dirinya sendiri yang sentiasa berdepan kecaman warganet. Tidak kira apa saja yang dilakukannya akan dikecam.

Menerusi lagu ini, Zizi, turut dikenali sebagai artis tak pernah tertekan dengan kecaman pedas warganet menyindir golongan itu yang gemar mencari kesalahan orang lain tanpa menilai kekurangan diri sendiri.

Dalam video muzik Eh juga kelihatan beberapa wajah yang cukup dikenali dalam industri seni tanah air antaranya penyanyi rap dan komposer, Altimet serta pengacara majlis, Viviana.

Melodi pula dapat didengar elemen muzik tradisional Melayu.

Tidak hanya melodi, Zizi turut menyelitkan elemen tradisional dalam video muziknya dengan mengenakan kebaya.

Di YouTube, video muzik Eh dilancarkan sejak 29 November lalu dan sehingga kini sudah mencatat lebih 350,000 tontonan.

Lagu: Eh

Penyanyi: Zizi Kirana

Komposer: Navigator & Zizi Kirana

Lirik: Mambang & Zizi Kirana

Terbitan & edaran: WebTVAsia Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:10 AM