KUCAIMARS. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

BERMULA sebagai penyanyi lagu saduran dalam laman sosial, pendatang baharu, Kucaimars nekad mencuba nasib dalam industri muzik tanah air.

Ternyata, bakatnya menjadi tumpuan ramai selepas menyertai pertandingan program realiti nyanyian Big Stage musim kedua (Big Stage 2) yang berlangsung tahun ini.

Walaupun sekadar mara ke peringkat separuh akhir Big Stage 2, Kucaimars bersyukur dengan pencapaiannya itu.

Bagi pemilik nama sebenar Amirul Husyairi Nani, 22, banyak ilmu diperoleh sepanjang menyertai program itu.

“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat beraksi di pentas pertandingan sebenar. Ia juga kali pertama saya menyertai pertandingan nyanyian besar.

“Maklumlah, sebelum ini saya cuma menyanyikan banyak lagu artis popular dalam laman sosial serta membuat persembahan bersama band indie,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seni pula, lulusan seni teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, dia percaya dengan kelebihan tona suara yang ada untuk menarik peminat.

“Sebelum ini lagu dihasilkan kurang menepati cita rasa sebagai penyanyi.

Saya berharap pertaruhan single terbaharu ciptaan sendiri berjudul Mudah Bagimu mendapat sambutan tahun hadapan. Single kali ini lebih ‘catchy’ sesuai dengan cita rasa peminat semasa,” katanya.

Ditanya bingkisan album penuh pula, Kucaimars merancang menghasilkan single demi single terlebih dulu.

“Sebagai penyanyi baharu, saya mahu lihat sambutan peminat terhadap single yang dihasilkan terlebih dulu.

“Buat masa ini, saya masih mempromosikan lagu Khayalan yang sepatutnya untuk persembahan pentas akhir Big Stage 2,” katanya.

Mengulas video nyanyian terbaharunya yang tular menerusi laman Facebook, kata Kucaimars, dia sendiri tidak menyangka lagu itu mendapat tontonan lima juta dalam tempoh lima hari.

“Lagu ini tiada judul kerana ia untuk penyanyi lain. Saya menyanyikannya semula dengan mengubah liriknya mengikut versi sendiri.

“Tak sangka ramai pengikut yang menyukainya. Malah, ramai minta saya merakam semula lagu itu dengan versi penuh,” katanya.

Terdahulu, Kucaimars pernah muncul dengan single pertama berjudul Jawab ciptaan Hang Nadim (Akim) dan Zimi Sofaz.

Selain itu, penyanyi muda ini pernah menghasilkan kira-kira 25 lagu saduran antaranya Sephia, Bunga, Menghapus jejakmu dan Dinda dendangan asal kugiran Masdo.

Kucaimars juga memiliki kumpulan muziknya sendiri sejak di bangku sekolah iaitu Demarz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:01 AM