DARI kiri: Santosh, Lor, Adil, Beverly, Ashwin, Stephanie, Farique dan Zaim.
Oleh Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


LAPAN individu ini berasal daripada latar belakang agama dan bangsa berbeza. Bagaimanapun, persahabatan dan muzik membawa mereka berdiri di bawah bumbung yang sama.

Nadir dibentuk oleh Ashwin Gobinath sebagai pemain dram, Zaim Zaidee (bass), Farique Nadzir (vokalis dan gitar), Santosh Logandran (perkusi), Adil Johan (saksofon), Beverly Matujal (vokalis) dan Stephanie serta Lor Phaik Sim (kedua-duanya bermain keyboard).

Ashwin selaku ketua kumpulan berkata, pada September lalu, mereka melancarkan lagu baharu berjudul Nafas mengisahkan seseorang yang kehilangan insan tersayang.

“Dalam kumpulan ini hampir semua boleh menyanyi sama ada penyanyi utama atau ‘back up’. Setiap lagu itu ada vokalis utama. Kami sudah lebih 15 tahun bermain muzik, tetapi Nadir baru ditubuhkan secara rasmi lima tahun lalu.

“Nafas adalah hasil ciptaan Farique. Dia dapat idea itu ketika kehilangan ayah saudara. Kebetulan kami bercadang keluarkan single baharu maka tercetuslah karya inspirasi daripada kisah itu.

“Lagu ini dekat dengan mana-mana individu kerana saya rasa semua orang pernah melalui saat itu. Sudah tentu kami harap lagu ini mendapat tempat dalam kalangan penggemar muzik tanah air,” katanya.

Pernah membawakan lagu Nafas dalam satu acara di luar negara, kata Farique, selepas sesi latihan, seorang lelaki datang dengan linangan air mata lalu menghulurkan tangan bersalaman dan memuji lagu berkenaan.

Itu pengalaman yang tidak mungkin mereka lupakan. Walaupun dinyanyikan dalam bahasa Melayu, pendengar mampu merasai kesedihan lagu berkenaan.

“Itu antara pengalaman manis yang tidak akan dilupakan. Orang yang datang dan memuji lagu Nafas itu adalah dari Russia. Dia kemudian tanya maksud lagu itu.

“Katanya, walaupun dia tidak faham, tetapi muzik lagu itu dapat dirasai. Sehingga ke hari ini, kami masih berhubung dan dia pula yang teruja menantikan lagu Nafas dilancarkan secara rasmi di YouTube,” kata Farique.

Tidak hanya terbatas memainkan satu genre muzik, kumpulan itu sendiri tidak melabel jenis muzik yang mereka bawakan. Yang pastinya, mereka ingin tampil berbeza daripada kumpulan sedia ada.

“Kami bergabung untuk buat apa yang kami suka tanpa terikat pada satu genre. Kami tidak mahu jadi kumpulan yang berasal dari Malaysia, tetapi bunyi muzik sama seperti penyanyi Hollywood.

“Ada pendengar yang cakap muzik kami etnik ada juga katakan progresif atau pop, tetapi mereka semua setuju ‘bunyi’ kumpulan kami adalah Nadir. Identiti yang hanya ada pada kami.

“Kalau kami semata-mata mahu menjadi artis, mungkin akan buat benda lain. Tetapi, kami ingin berkarya dan tonjolkan keunikan Malaysia. Oleh itu, kami ingin kekalkan identiti muzik kami,” kata Farique.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:10 AM