NABIL benar-benar terkejut mendapat tahu Neelofa akan mengundur diri daripada mengacara program MeleTOP. FOTO Asyraf Hamzah
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com


PENGACARA popular, Nabil Ahmad menafikan dia pura-pura terkejut apabila rakan pengacaranya dalam MeleTOP, Neelofa mengumumkan mengundur diri daripada mengacarakan program bual bicara infotainment itu.

Neelofa mengumumkan tidak lagi bergandingan dengan Nabil mengacarakan program terbitan Astro Ria itu bermula tahun hadapan selepas hampir lapan tahun bersama ketika siaran langsung malam kelmarin.

Kata Nabil ketika ditemui, dia memang tidak tahu menahu mengenai pengumuman yang dibuat Neelofa dan pihak produksi sendiri tidak memberitahu apa-apa.

“Sebelum ini ada dengar cerita mengenai Neelofa mahupun saya sendiri akan dikeluarkan daripada mengendalikan MeleTOP. Tapi perkara itu kami dengar dari musim kedua.

“Bagaimanapun musim demi musim gosip mengatakan Neelofa ataupun saya akan dikeluarkan daripada MeleTOP tidak juga berlaku. Jadi apabila kali ini timbul lagi cerita sama saya tak ambil peduli langsung,” katanya.

Katanya, disebabkan itu apabila Neelofa mengumumkan perkara terbabit membuatkan dia benar-benar terkejut.

“Itupun saya ingat dia main-main. Sehinggalah Neelofa sendiri menangis apabila mengumumkan perkara itu dan membuatkan saya sedar ia adalah perkara benar dan serius,” katanya.

Menjawab dakwaan dia tidak sensitif dan terus berlawak walaupun ketika Neelofa sedang serius mengumumkan bakal meninggalkan MeleTOP dan menangis, tegas Nabil dia sedang menyembunyikan perasaan sedihnya ketika itu.

“Saya terpaksa sebab selain terkejut saya juga sedih waktu itu. Saya tahan perasaan dengan cuba menenangkan keadaan dan berlawak.

“Saya pula kalau menangis buruk sampai sedu-sedan. Kalau Neelofa dah menangis dan saya menangis sampai tersedu macam mana kami hendak mengendalikan MeleTOP. Tumpuan penonton program pun saya kena jaga juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 3:27 PM