DOUGLAS dan Rashid kembali bergandingan menerusi sitkom Kopitiam: Double Shot.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


WATAK Jo dalam sitkom klasik popular, Kopitiam sudah sebati dalam diri pelakon berpengalaman, Rashid Salleh sejak dua dekad lalu.

Oleh itu, selepas sekian lama menyepi, Rashid, 47, kembali beraksi dalam sitkom Kopitiam: Double Shot khusus untuk mengubat kerinduan peminat setia siri popular itu.

Secara peribadi, Rashid mengakui dia sukar menolak tawaran penerbit untuk menjadi sebahagian daripada sitkom itu.

“Saya terima tawaran kerana mahu bekerja semula dengan pasukan produksi yang bagus dan pelakon lama sitkom ini seperti Douglas Lim.

“Sebagai pelakon lama, saya juga mahu meneruskan legasi sitkom popular ini untuk tontonan generasi muda,” katanya.

Mengenai watak pula, kata Rashid, dia melakonkan karakter sama iaitu Jo, pelakon Hollywood yang kembali ke Kopitiam selepas 15 tahun.

“Watak Jo sangat mudah bagi saya kerana sudah 20 tahun melakonkannya.

“Sitkom ini tidak lari daripada format lama, tetapi penampilan muka baharu seperti Sharifah Amani (watak Alia) diharap menarik lebih ramai penonton terutama generasi kini,” katanya.

Sebagai pelakon asal, Rashid percaya Sitkom Kopitiam: Double Shot memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik penonton.

“Sitkom ini ada pengikut tersendiri kerana ia karya tempatan dalam bahasa Inggeris.

“Siri ini bukan saja diminati orang bandar, tetapi juga di luar bandar,” katanya.

Antara karya yang menaikkan nama Rashid sebelum ini adalah Toll Gate Girl dan Waris Jari Hantu.

Selain Sitkom Kopitiam: Double Shot, Rashid yang dikenali sebagai penyampai program sukan juga berlakon dalam filem genre aksi, Sangkar pada tahun ini.

Kembali dengan

watak Steven

Bagi pelakon komedi, Douglas Lim, watak Steven dalam sitkom Kopitiam melonjakkan namanya di persada seni tanah air.

Menurut Douglas, dia hanya berusia 19 tahun ketika mula membintangi sitkom popular itu.

“Sitkom Kopitiam platform untuk saya bertapak dalam bidang lakonan.

“Watak Stephen cukup bermakna apabila nama saya pernah dicalonkan bagi kategori Aktor Terbaik Komedi, Asian Television Awards sebelum ini,” katanya.

Douglas bagaimanapun mengakui, pada mulanya dia bimbang untuk kembali menjayakan sitkom itu kerana sudah lama tidak beraksi depan kamera.

“Maklumlah, saya lebih banyak buat ‘stand up comedy’ sebelum ini.

“Saya juga lebih suka anggap diri sebagai penghibur dan bukan pelakon komedi saja.

“Saya perlu menonton semula sitkom lama untuk menjiwai watak ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Douglas, dia terima tawaran penerbit kerana tidak mahu lepaskan peluang bekerja dengan produksi yang bagus.

“Sudah lama kita tiada sitkom tempatan dalam bahasa Inggeris sedangkan siri ini ada ramai pengikut setia.

“Selagi ia boleh menghiburkan penonton, saya sudah gembira kerana yang penting penonton terhibur,” katanya.

Ditanya mengenai watak, Douglas berkata Steven masih sama seperti musim terdahulu.

“Jika dulu watak Steven pendandan rambut yang ceria dan suka buat kecoh, kini dia sudah tua sebelum waktunya dan menjadi pemilik Kopitiam.

“Karakter Steven tidak lagi seceria dulu kerana ada sesuatu yang berlaku antara dirinya dengan Jo dan mereka tidak lagi rapat,” katanya.

Selain Sharifah Amani, sitkom arahan Imri Nasition itu turut menampilkan wajah baharu seperti Melissa Campbell, Harvinth Skin dan Charles Roberts.

Siri Viu Originals 10 episod itu mula bersiaran setiap Khamis di Viu bermula 28 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:00 AM