AERIL dan Wawa kini mempunyai dua anak, Ahmad Fakhruddin Attar dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PASANGAN selebriti Wawa Zainal dan Aeril Zafrel bakal menimang cahaya mata perempuan awal bulan depan.

Ia diumumkan pasangan itu pada majlis memperkenalkan jantina bayi dan pelancaran produk terbaharu Baby Girl Limited Edition Soffya & Hayla di Glam Hall, Damansara Perdana, Petaling Jaya, hari ini.

"Insya-Allah, kami bakal dikurniakan anak perempuan dan berharap cahaya mata ketiga ini dilahirkan dengan selamat.

“Saya sekarang hanya menunggu waktu saja. Kalau ikut jadual saya dijangka melahirkan anak pada awal Disember ini,” kata Wawa.

Menurut Aeril, dia dan Wawa juga sudah memilih nama anak perempuannya itu.

“Kami memilih nama Aya Soffya untuk nama anak kami nanti. Nama itu dipilih ketika kami ke Turki baru-baru ini.

“Ketika itu kami ke sebuah masjid yang dinamakan Aya Sofya, lantas bercadang untuk memberikan nama itu,” katanya.

Aeril dan Wawa berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua anak, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:08 PM