Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


FILEM animasi bukan saja mampu menarik perhatian penonton kanak-kanak, tetapi juga dewasa. Rata-rata, setiap kali filem animasi diumumkan bakal ditayangkan di pawagam, semua penonton menunjukkan rasa teruja.

Industri filem animasi kini bukan saja dimonopoli produk luar negara, tetapi filem animasi tempatan juga mula mendapat perhatian. Berikut adalah 10 filem animasi yang mencuri perhatian peminat filem Malaysia.

Frozen

Filem terbitan Walt Disney Pictures ini antara yang menjadi fenomena dalam industri perfileman dunia.

Bukan saja filem, malah lagu, watak dan pakaian dalam filem itu juga mencuri perhatian. Disebabkan itu, Frozen berjaya mengumpul kutipan AS1.276 bilion (RM5.3 bilion).

Terbaharu, Frozen 2 kini sedang ditayangkan dan dikatakan bakal mencetus fenomena sekali lagi.

The Lion King

Filem klasik yang mengangkat kisah mengenai kehidupan Raja Rimba, Simba. Ramai yang membesar dengan filem animasi yang ditayangkan pada 1994 ini dan kerana itulah tayangan filem versi ‘live action’ pada 2019 mendapat perhatian.

Filem asalnya berjaya mencatat kutipan sehingga AS968.5 juta (RM4.02 bilion) manakala versi 2019 pula mencatat kutipan AS1.655 bilion (RM6.87 bilion).

Despicable Me

Francais Despicable Me juga tak kurang hebatnya. Filem kedua yang diterbitkan pada 2013 berjudul Despicable Me 2 mencatat kutipan sehingga AS970 juta (RM4.03 bilion).

Ini meletakkan filem terbitan Universal ini setanding filem terbitannya yang lain iaitu Jurassic Park dan Fast and Furious.

Toy Story

Filem animasi terbitan Pixar, Toy Story pertama kali ditayangkan pada 1995 dan seterusnya menutup francais mereka menerusi filem Toy Story 3 pada 2010.

Namun, kerana kejayaan besar untuk filem ketiga dan menjadi filem animasi pertama dunia yang mencecah kutipan melebihi AS1 bilion, Pixar tidak mahu berhenti dan Toy Story 4 ditayangkan Jun lalu.

Minions

Minions adalah watak ikonik dalam filem Despicable Me dan ditarik keluar, menghasilkan filem spin-off dengan judul sendiri.

Ditayangkan pada 2015, Minions berjaya mengumpul kutipan AS1.159 bilion (RM4.81 bilion).

Penerbitnya, Illumination kini bekerja keras untuk menerbitkan filem Minions: The Rise of Gru yang dijangka ditayangkan tahun depan.

Zootopia

Satu lagi filem terbitan Walt Disney Animation Studios adalah Zootopia pada 2016 yang menggondol pelbagai kemenangan dalam anugerah membabitkan filem animasi.

Secara keseluruhannya, Zootopia berjaya mencatat kutipan sehingga AS1.023 bilion (RM4.25 bilion).

The Incredibles

Filem animasi terbitan Pixar berjudul The Incredibles pernah ditayangkan pada 2004 dan selepas 14 tahun, pihak penerbit menayangkan filem kedua berjudul Incredibles 2.

Siapa sangka, filem kedua ini mendapat perhatian sehingga berjaya mengutip kutipan AS1.242 bilion (RM5.15 bilion).

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Filem karya anak tempatan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga tak kurang hebatnya. Di samping menjadi hiburan buat kanak-kanak yang mengikuti siri TV animasi itu, filem ini juga mengangkat kisah mengenai cerita dongeng Melayu.

Mencatat kutipan sehingga RM26 juta menjadikan filem ini antara animasi kebanggaan negara.

BoBoiBoy: The Movie

Satu lagi filem tempatan yang menjadi kebanggaan yang ditayangkan pada 2016.

Diterbitkan oleh Animonsta Studios, filem edaran Primeworks Studios ini juga tak kurang hebatnya apabila menempa kutipan sehingga RM20 juta.

Ejen Ali: The Movie

Selepas Upin & Ipin dan BoBoiBoy menempa kejayaan besar, ini satu lagi filem animasi tempatan yang dinanti-nantikan.

Filem animasi terbitan WAU Animation dan diedarkan oleh Primeworks Studios ini bakal menemui penonton menjelang 28 November ini. Berbekalkan jumlah perbelanjaan mencecah RM6 juta, tentunya filem ini bakal meraih kutipan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:10 AM