ZAHID (depan tiga dari kanan) bersama sebahagian penggiat seni yang akan terbabit.

Oleh Syanty Octavia Amry

soctavia@hmetro.com.my

TiIADA bayaran mahal, malah sokongan daripada teman pemain dram terkenal, Allahyarham Yazit Ahmad bagai memudahkan urusan persembahan amal yang bakal dijayakan adiknya, Zahid tidak lama lagi.

Persembahan diberi nama 11 Hours Live & Loud, Sang Gendang Dalam Kenangan itu akan menampilkan hampir 200 artis yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik dan karyawan seni.

Ia akan berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 Disember depan di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur dan ini pertama kali persembahan menampilkan ratusan artis.

Zahid yang juga pemain dram berkaliber berkata, dia bersyukur niat mengadakan persembahan amal itu berjalan lancar.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat mengadakan persembahan amal bagi mengumpul dana untuk diberikan kepada abang bagi meringankan bebannya.

“Walaupun dia sudah tiada, saya tetap akan meneruskan perancangan ini dan tidak sangka banyak pihak yang datang membantu terutama rakan seperjuangan yang sudi menyanyi tanpa bertanyakan soal bayaran,” katanya.

Zahid berkata, dia juga pada awalnya mahu mengadakan di tempat kecil saja kerana bimbang tiada sambutan, namun melihat sokongan ramai, persembahan ini akan diadakan di kawasan lebih besar dan diharap selesa untuk penonton.

Dalam pada itu, Zahid turut berharap teman daripada kumpulan Search turut hadir walaupun sekadar menyaksikan persembahan.

“Saya menawarkan kepada semua kawan arwah abang untuk mengadakan persembahan pada hari itu. Begitu juga dengan Search, walaupun tidak dapat berhubung secara terus dengan mereka saya ada minta kawan yang berjumpa untuk menyampaikan perkara ini.

“Harapan saya jika mereka tidak dapat mengadakan persembahan sekurang-kurangnya datanglah untuk beri sokongan,” katanya.

Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Datuk Nash dan Lefthanded, Man Bai, Pretty Ugly, Dayangku Intan, Aris Ariwatan dan Kugiran Masdo.

Bagi peminat yang ingin menonton persembahan ini mereka perlu menyalurkan sumbangan melalui www.ticketapps.com.my dan jumlah sumbangan ditetapkan RM40, RM60 dan RM80 untuk satu hari persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:01 AM