AYOB harap persatuan penyampai radio dibarisi individu berpengalaman luas dalam industri penyiaran tanah air. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my


KONSORTIUM Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menyokong penuh penubuhan persatuan penyampai radio seperti mana yang disuarakan penyampai radio, Isma Halil Hamzah, 46, kelmarin.

Presidennya, Ayob Abd Majid berkata, setakat ini tiada persatuan yang menjaga kebajikan mereka sehinggakan keluhan bekas penyampai radio sukar didengari.

Katanya, jika persatuan itu ditubuhkan katanya, ia boleh memberi kesan positif termasuklah menjadi orang tengah kepada kerajaan.

"Penubuhan ini secara tidak langsung akan mewakili syarikat rakaman dengan menyuarakan masalah kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Antaranya adalah mewujudkan garis panduan mengenai penyusunan lagu yang boleh diputarkan di stesen radio utama di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob berkata, persatuan itu perlulah dibarisi oleh individu yang berpengalaman luas dalam industri penyiaran tanah air.

"Apa yang penting adalah persatuan dapat mengawal isu rasuah membabitkan pengurusan stesen radio.

“Antara masalah yang sering diperkatakan adalah mana-mana penyanyi yang mahu lagu mereka dimainkan di radio perlu membayar sejumlah wang," katanya.

Portal berita akhbar ini kelmarin melaporkan, Isma mengharapkan sebuah persatuan yang menjaga kebajikan penyampai radio ditubuhkan.

Laporan dipetik berkata, Isma kecewa kerana nasib bekas penyampai radio yang dibuang kerja tidak terbela sehinggakan ada dalam kalangan mereka menderita kemiskinan selain meninggal dunia pun tidak diketahui.

Berita berkaitan

Wujudkan persatuan penyampai radio - Isma Halil

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:56 PM