JANNA membawa watak utama dalam teater Siti Di Alam Fantasi. FOTO Instagram Janna Nick
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


ATAS rasa tanggungjawab dan komitmen terhadap teater lakonannya, Siti Di Alam Fantasi yang sudah pun bermula pementasannya semalam, pelakon Janna Nick meminta pelepasan doktor untuk keluar wad.

Pengurus Janna, Afeeq Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, Janna begitu komited untuk meneruskan persembahan kerana sudah lama dia membuat latihan dan atas beberapa syarat doktor memberi kebenaran.

“Janna belum boleh keluar hospital kerana keadaan dia belum pulih sepenuhnya.

“Disebabkan dia mahu meneruskan persembahan untuk teater berkenaan, selepas berbincang doktor memberi kebenaran.

“Tetapi dia hanya dibenarkan keluar untuk ke Istana Budaya membuat persembahan dan belum boleh pulang ke rumah,” katanya.

Afeeq berkata, buat masa sekarang Janna akan keluar hospital pada jam 5.30 petang dan harus pulang semula ke hospital pada jam 10 malam.

Terdahulu, Janna yang menjadi watak utama untuk teater berkenaan dimasukkan ke hospital akibat jangkitan bakteria selepas mengalami demam panas sejak beberapa hari lalu.

Selain Janna, Siti Di Alam Fantasi turut dijayakan oleh Johan Raja Lawak, Abam Bocey, Issey Fazlisham, Fizo Omar, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Erma Fatima, Ozlynn Waty dan Isma Halil.

Teater berkenaan mengisahkan dunia khayalan seorang gadis cantik tetapi penuh dengan sifat sombong.

Berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, ia akan dipentaskan hingga 26 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:37 PM