AG bangga dengan pencapaian anaknya, Muhammad Arraz Ammar yang mendapat 5A 1B.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


ANAK kedua pengacara dan penyampai radio, Kool FM, AG iaitu Muhammad Arraz Ammar mendapat keputusan cemerlang 5A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

AG berkata, dia tidak pernah memberi tekanan pada anaknya sebelum menduduki peperiksaan itu di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1.

“Ketika ujian percubaan dia dapat 4A 2B. Alhamdulillah, kali ini dia dapat 5A. B pula adalah Bahasa Malaysia Penulisan. Sebagai bapa saya bangga dan percaya dia sudah buat terbaik.

“Sebelum ini saya tak pernah beri tekanan pada dia yang mana kena dapat semua A. Saya cakap, kalau dapat 1A atau apa saja pun, saya okey.

“Lagi pula saya yakin pihak sekolah sudah buat yang terbaik untuk semua calon UPSR. Mereka sediakan kelas tambahan untuk membantu setiap calon,” katanya.

AG yang juga bekas pengacara Melodi berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak membenarkan anaknya menonton televisyen bermula Mac lalu.

“Saya tahu kalau dia menonton televisyen, satu apa pun tak jalan. Mujur abang dan adik dia membantu yang mana tak tengok televisyen juga.

“Kalau ada yang menonton wayang baru bawa pergi. Macam penggunaan telefon pula sangat terhad apatah lagi Internet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:09 PM