LIZA sudah beritahu suami untuk ‘tutup kilang’. FOTO Rosela Ismail
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI terkenal, Liza Hanim mengakui dia tidak merancang untuk menambah anak lagi selepas memiliki lima cahaya mata ketika ini.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu, rumah tangganya kini sudah lengkap dengan kehadiran anak kelimanya, Muhamed Al Fateh yang dilahirkan pada penghujung Januari lalu.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami sudah lengkap dengan kehadiran lima anak.

“Saya sudah beritahu suami untuk kami ‘tutup kilang’. Cukuplah dengan lima anak saja,” katanya.

Liza ditemui pada sidang media kolaborasinya bersama Cuvert di Oasis Village, Ara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Mengenai anak kelimanya itu, kata Liza yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-40 hari ini, jika nak diikutkan, kehadiran cahaya mata itu juga tidak dirancang.

“Namun, saya dan suami tidak dapat menolak rezeki daripada Allah SWT dengan kehadirannya.

“Ternyata kehadiran Fateh yang kini berusia 10 bulan sangat menceriakan lagi hidup kami sekeluarga,” katanya.

Naib juara Gegar Vaganza musim keempat itu mendirikan rumah tangga dengan bekas ahli kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin pada 2003.

Terdahulu, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Marsya Qistina, 16; Marissa Qalreen, 10; Mohamed Salahuddin, 8, dan Mohamed Ibrahim, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:11 PM