DEVAN bersama barisan pelakon KL Vampire.
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

BUKAN mudah untuk menghasilkan filem fiksyen berlatarbelakangkan kehidupan makhluk mistikal ala puntianak, KL Vampire yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara. Apatah lagi ia menampilkan elemen aksi dan juga kesan khas Imej Janaan Komputer (CGI).

Pengarahnya, Devan R berkata, dalam menghasilkan filem ini, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk pelakon mengalami kecederaan dan pengsan.

Insiden itu membabitkan Pablo Amirul yang terjatuh dari ketinggian empat meter menyebabkan kakinya cedera dan terpaksa berehat sebulan. Dia kemudian pengsan di lokasi akibat keracunan makanan.

Filem terbitan Cinema Studio Sdn Bhd ini turut menampilkan Raja Ilya, Josiah Hogan, Aeril Zafril dan Reen Rahim.

Ia turut menggunakan khidmat bintang aksi popular Indonesia, Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman sebagai pelakon serta pereka kareografi aksi pertarungan.

Menurut Devan, pelakon yang terbabit dalam pembikinan filem itu banyak berkorban bagi memastikan lakonan diberikan meyakinkan.

“Apabila filem ini dapat ditayangkan walaupun terpaksa menunggu tiga tahun kerana proses CGI, saya sangat gembira. Ia benar-benar memberi makna istimewa buat saya, pelakon dan kru,” katanya.

Sementara itu, Pablo ketika ditemui berkata, pengalaman berlakon dalam filem ini sangat mencabar kerana ia banyak menggunakan teknikal apabila untuk aksi pertarungan dan ‘vampire’, pelakon terpaksa digantung dari kren dan diikat dengan tali.

“Berlakon dalam filem ini memang penat kerana perlu menjalani banyak sesi latihan dan tempoh penggambaran panjang. Ada satu hari kami berlakon dari pagi hingga malam dan pagi esoknya.

“Untuk babak terbang dalam pertarungan, saya digantung dari kren. Tiba-tiba tali terputus dan saya jatuh dari ketinggian empat meter. Kaki saya cedera dan membuatkan tidak boleh bekerja dalam tempoh hampir sebulan.

“Ia membabitkan masalah keselamatan, tapi biasalah dalam keadaan sudah cedera seperti itu saya memang ‘mengamuk’. Saya salahkan Devan dan saya maki hampir semua orang. Sakitnya akibat jatuh terhempas atas

lantai hanya Tuhan saja yang tahu,” katanya.

Pablo turut ‘lembik’ akibat keracunan makanan hingga tidak mampu berdiri.

“Bayangkan dalam situasi itu penggambaran tidak boleh dihentikan. Hampir seharian saya di lokasi dan pada jam 4 pagi saya perlu menghabiskan babak pertarungan dengan Cecap.


DEVAN

“Ketika itu saya hanya membongkok saja. Memang waktu itu badan saya sangat lemah dan tidak mampu berdiri tegak,” katanya.

Dalam pada itu, Josiah turut berkongsi pengalaman tubuhnya mengalami bengkak dan calar semata-mata untuk memastikan babak dilakukan itu kelihatan meyakinkan.

“Ada babak kalau anda menonton filem ini kelihatan kami bertarung di kawasan berbatu. Bayangkan badan kami berguling dan terhempas di atas batu itu,” katanya.

Bagaimanapun, dia bangga kerana semua pelakon berusaha keras menjayakan watak dan babak masing-masing walaupun mereka bukanlah menjayakan watak utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:10 AM