CHUBB-E
Oleh Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI kelahiran program realiti Ceria Popstar musim kedua dan Ceria Megastar 2018, Chubb-E mengakui tidak pernah terlintas untuk mengejar populariti secara mendadak sebaliknya mahu berkongsi muziknya kepada khalayak.

Pemilik nama penuh Muhammad Sharul Aslyn Ag Ashrul Affandy ini berkata, dia yang mengetengahkan genre muzik R & B dan hip hop mahu bakat seninya lebih ke depan berbanding hal peribadi.

“Fokus saya sebenarnya lebih kepada berkongsi bakat seni yang dimiliki dan ingin mengembangkan koleksi muzik yang disimpan.

“Jujur saya lebih selesa menghasilkan lagu kepada penyanyi lain berbanding terlalu mengejar populariti untuk diri sendiri sebagai penyanyi.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka bakat nyanyian boleh diterima sehingga sekarang. Ramai yang melihat potensi diri saya,” katanya.

Menurut Chubb-E, ketika awal kemunculannya dalam industri seni enam tahun lalu, dia sendiri tidak mengenali potensi dirinya yang sebenar.

“Sangat kelakar apabila orang luar yang menyedari kebolehan diri berbanding saya sendiri. Rata-rata yang ditemui memberitahu saya mempunyai bakat dalam menghasilkan dan menerbitkan lagu sedangkan selama ini sekadar berkongsi idea serta minat terhadap muzik.

“Namun selepas diberi kepercayaan, saya perlahan-lahan cuba mempelajari teknik untuk menghasilkan lagu kepada penyanyi tempatan,” katanya.

Memikul tanggungjawab sebagai anak sulung daripada empat beradik, Chubb-E perlu menjadi contoh terbaik selain mahu mengubah nasib keluarganya.

“Sebagai seorang abang memang seharusnya saya menunjukkan teladan yang baik kepada adik yang masih bersekolah.

“Saya mahu buktikan, biarpun tidak berjaya dalam akademik, bersandarkan minat kita dapat harungi hidup ini dengan berusaha melalui kecenderungan yang ada.

“Apatah lagi, saya bukannya datang daripada keluarga yang senang. Oleh sebab itu, saya ukur baju di badan sendiri dan berusaha keras untuk berjaya dalam bidang yang saya usahakan sekarang,” katanya

Ditanya mengenai maklum balas single terbaharunya, Kita Cuma Kawan, remaja berasal dari Papar, Sabah ini memberitahu dia bersyukur lagu terbabit mendapat tempat di hati pendengar.

Dicipta sepenuhnya oleh Chubb-E , lagu terbabit menceritakan mengenai perhubungan seorang lelaki atau wanita yang mengharapkan cinta terbalas, namun dianggap lebih selesa sebagai teman biasa.

“Alhamdulillah single kedua saya ini pukulannya lain macam. Biarpun baru dilancarkan awal Ogos lalu, ia meraih 278,000 tontonan di YouTube,” katanya yang kini sibuk dalam proses menyiapkan single penyanyi baharu, Megat Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:00 AM