BARISAN penyanyi pada Separuh Akhir pertama Muzik-Muzik 34 di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. FOTO/SADDAM YUSOFF
Oleh Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


MINGGU pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (MM34) menyaksikan lagu ciptaan Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adi berjudul Drama dendangan Drama Band dipilih sebagai Lagu Terbaik.

Lagu itu berjaya menawan hati barisan juri yang diketuai Azmeer sekali gus memberikan saingan sengit kepada 10 lagi lagu bertanding dalam saingan itu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Aepul yang juga penyanyi Drama Band berkata, dia terkejut apabila lagu ciptaannya dan rakan kumpulan itu dipilih Lagu Terbaik.

“Kami masih terkejut dan bersyukur dengan keputusan ini. Kejayaan ini anugerah terindah buat lagu Drama. Tidak dinafikan rata-rata lagu yang tercalon pada minggu pertama separuh akhir MM34 semuanya hebat dan mempunyai kualiti tersendiri.

“Kami sekadar nak berhibur saja malam itu dan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk meraih lagu terbaik,” katanya.

Menurutnya, rata-rata daripada mereka meletakkan sasaran lagu Satukan Rasa ciptaan Dinda Kanda dan lirik Iman Imran sebagai pemenang Lagu Terbaik.

“Kami rasa lagu nyanyian Siti Nordiana dan Khai Bahar itu mempunyai lirik serta melodi yang kuat,” katanya.

Menurut Aepul, walaupun lagu itu dikecam pada awal kemunculannya, ramai yang menyukainya lagu itu hingga mendapat lebih sembilan juta tontonan di YouTube.

“Pastinya juri mempunyai sebab tersendiri untuk memilih Drama. Biarpun pada peringkat awal dahulu lagu ini dikecam, ramai juga yang memberikan komen mereka menyukai lagu itu. Malah tidak kurang yang menyifatkan, mesej lagu kami menarik. Cuma, mereka tidak selesa dengan konsep video muziknya. Tidak mengapa, kami terbuka dengan kritikan.

“Saya tidak melihat kejayaan ini sebagai tuah kerana kontroversi video muziknya, sebaliknya kami yakin muzik dan lirik lagu Drama sarat dengan mesej serta berkualiti,” katanya.

Pertandingan minggu pertama turut menyaksikan saingan lagu Paku nyanyian Ara Johari, Mencuba (Sufian Suhaimi) dan 123 dendangan Khai Bahar.

Tidak ketinggalan lagu Satukan Rasa (Khai Bahar & Siti Nordiana), Terlalu Memuja (Sufian Suhaimi), Hatiku Milikmu (Siti Nordiana), Bidadari (Ismail Izzani), Aku Yang Bersalah (Usop), Kepuraanmu (Luqman Faiz) dan Tiada Dirimu (Shila Amzah).

Bagi Luqman yang membawakan lagu Kepuraanmu, dia mengakui mengecewakan komposer dan penulis lirik lagu terbabit apabila gagal memberikan persembahan terbaik.

“Saya akui sukar mengawal perasaan gugup ketika berada atas pentas. Bukan mudah sebenarnya nak buang rasa takut dan gemuruh. Sebenarnya ketika sesi latihan semuanya berjalan dengan baik malah kesihatan saya juga tiada masalah.

“Namun mungkin terlalu memikirkan sangat dan menginginkan persembahan sempurna menyebabkan semua yang dirancang tidak menjadi. Tambahan pula, masing-masing meletakkan harapan tinggi terhadap lagu ini menyebabkan saya perlu berusaha sehabis baik.

“Bagaimanapun, saya sudah memberikan persembahan sebaik mungkin dan berharap ada rezeki untuk mara ke peringkat final nanti.

“Ini adalah pentas pertama saya di Separuh Akhir Muzik Muzik dan diharapkan ada tuah untuk lagu ini,” katanya.

Kata Luqman, dia juga mengakui seorang yang mudah tertekan dan terlalu memikirkan sesuatu perkara.

“ Saya tahu boleh buat persembahan lebih baik. Malah ketika melihat semula persembahanitu, saya kata itu bukan saya, tapi disebabkan mudah tertekan dan terlalu memikirkan saya jadi serabut,” katanya.

Sementara itu, Ismail Izzani meletakkan harapan tinggi agar lagu Bidadari yang dipersembahkan pada minggu pertama peringkat Separuh Akhir MM34 layak ke Anugerah Juara Lagu ke-34.

“Ini kali ketiga lagu saya layak ke peringkat separuh akhir. Jadi, untuk kali ini saya meletakkan harapan tinggi pada lagu ini. Ketika menulis lagu ini saya letakkan sepenuh hati sebab ia khas buat ibu saya.

“Malah, untuk menyanyikan lagu ini depan ibu saya memang lain. Ditambah lagi dengan adanya juri dan penonton. Pendek kata, lagu ini sangat bermakna buat saya.

“Walaupun tidak dipilih menjadi lagu terbaik, saya berharap ia layak ke peringkat AJL 34 nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:00 AM