TAJUL syukur anak dan isterinya dalam keadaan selamat.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


ISTERI penyanyi Tajul iaitu Nurul Shamieza Eddie selamat melahirkan bayi perempuan yang juga anak sulung mereka, malam tadi.

Bayi diberi nama Adriana Carissa itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.8 kilogram di Hospital Kajang.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 21, ketika dihubungi berkata, dia teruja dan gembira kerana pertama kali merasa pengalaman bergelar seorang bapa.

“Alhamdulillah isteri selamat melahirkan anak sulung kami. Satu pengalaman yang menarik dan dalam masa sama rasa sedih melihat sakitnya dia ketika hendak bersalin.

“Saya sendiri ikut masuk ke bilik bersalin menemani isteri dan melihat bagaimana dia bertarung nyawa melahirkan anak kami dan ia membuatkan saya berasa insaf.

“Ia juga mengingatkan saya supaya lebih menghargai isteri kerana begitulah keadaan ibu kita ketika melahirkan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Tajul turut berkongsi berita gembira berkenaan di Instagram.

Tajul berkata, jika tiada halangan isterinya dijangka pulang ke rumah esok.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu ini mencetuskan kontroversi apabila gambarnya bersama seorang wanita yang sarat hamil disebarkan di Internet.

Tajul kemudian membuat pengakuan dia sudah berkahwin dan wanita yang sedang hamil itu adalah isterinya yang dinikahi pada 10 Disember 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 3:45 PM