FAUZIAH anjur program untuk galak generasi muda cintai karya Sasterawan Negara. FOTO Saddam Yusoff
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON dan penggiat teater, Fauziah Nawi mengajak peminat terutamanya generasi muda untuk hadir ke program Gempita Sastera Sasterawan Negara 2019 yang akan berlangsung pada 2 hingga 8 Disember ini.

Fauziah mewakili Stefani Events dan Sanggar Teater Fauziah Nawi bekerjasama dengan Persatuan Teater dan Seni Selangor (PENTAS) serta Kerajaan Negeri Selangor untuk mengadakan program yang akan diadakan di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.

"Naskhah yang diangkat dalam pementasan selama seminggu ini ada nilai untuk diketengahkan. Ia harus ditonton oleh semua orang terutamanya, generasi muda," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ia adalah satu langkah dalam memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai Sasterawan Negara.

"Bila tanya kepada generasi baru, siapakah Sasterawan Negara, mereka tak kenal. Saya rasa, perkara ini semakin teruk. Kenapa generasi muda tak kenal Sasterawan Negara mereka sendiri? Di mana silapnya?

"Kami dah mulakan langkah untuk terbitkan naskhah Sasterawan Negara bermula dengan karya Datuk Usman Awang iaitu Dari Bintang ke Bintang dan seterusnya beberapa sasterawan lain.

"Menjadi tanggungjawab kami penggiat teater untuk meletakkan naskhah ini di tempatnya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Kebudayaan dan Peradaban Melayu & Warisan yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, program itu adalah sebahagian daripada modus operandi untuk merakyatkan seni budaya.

"Ini adalah modus operandi untuk merakyatkan seni budaya terutamanya seni budaya Selangor kepada semua orang.

"Sekiranya program sebegini tidak dilestarikan, seni budaya kita akan pupus," katanya.

Program itu akan berlangsung pada jam 8.30 malam sepanjang seminggu dan mempertaruhkan lapan karya daripada lapan Sasterawan Negara yang diadaptasi ke dalam bentuk pementasan teater.

Selain itu, pihak penganjur juga akan mengadakan acara sampingan bermula jam 4 petang seperti pameran, jualan buku, persembahan kebudayaan, monolog, deklamasi puisi dan permainan tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:23 PM