ALLAHYARHAM Alias yang terkenal dengan watak Aki meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini. FOTO Facebook Les' Copaque Production Sdn Bhd
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my


PELANTUN suara animasi, Datuk Alias Lazan yang terkenal dengan watak Aki dalam karya Pada Zaman Dahulu meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor, hari ini.

Les' Copaque Production Sdn Bhd dalam kenyataan di Facebook mengesahkan Alias menghembuskan nafas terakhir.

"Pagi tadi kami mendapat berita menyedihkan iaitu pelakon suara untuk watak Pak Mail (Geng) dan Aki (Pada Zaman Dahulu) meninggal dunia.

"Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan marilah sedekahkan al-Fatihah," katanya menerusi laman sosial terbabit.

Karya animasi Pada Zaman Dahulu diminati ramai mengisahkan mengenai watak seorang datuk yang sering bercerita kisah teladan kepada dua cucunya.

Bagi yang tidak mengetahui, Alias adalah pemilik suara berkenaan.

Sementara itu anak Allahyarham iaitu Lynda Alias, juga menerusi Facebook berkongsi berita menyedihkan itu.

Kata Lynda, bapanya meninggal dunia di hospital terbabit selepas Subuh dan meminta orang ramai membacakan al-Fatihah buat arwah.

"Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah papa. Semoga Allah terima segala amalan beliau dan mengangkat darjatnya di sisi Allah. Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar daripada urusan dunia.

"Semoga dilindungi daripada seksa kubur dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan solihin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:05 PM