AWI tidak menolak sekiranya dipertemukan jodoh yang terbaik buatnya dalam masa terdekat. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


KOMPOSER dan penyanyi Awi Rafael mengakui dirinya tidak serik jika ditimpa insiden seperti majlis perkahwinannya dengan pelakon Atikah Suhaime dibatalkan saat-saat akhir pada Mac lalu berulang kembali selepas ini.

Awi, 33, berkata dia akan reda dengan apa juga aturan Tuhan untuk hidupnya dan menyifatkan insiden menimpanya itu sekadar dugaan kecil berbanding dihadapi orang lain.

“Saya tidak serik dan kalau berlaku sekali lagi, saya cuma berdoa yang terbaik kepada Allah. Saya anggap ini dugaan hidup dan apa yang dilalui sangat kecil jika dibandingkan dengan kehidupan orang lain.

“Contohnya seperti ibu bapa yang memiliki anak penghidap autisme, masalah saya terlalu kecil. Saya sangat bangga dapat menunjukkan kepada kawan, kalau kita mengikut kata hati dan langkah diatur Allah, insya-Allah semua jadi positif saja,” katanya.

Awi ditemui pada sidang media JR Richard & Awi Rafael: Stripped Acoustic Showcase yang akan berlangsung jam 9.30 malam esok di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Dia juga mengakui tiada masa untuk mengenang kesedihan lalu apalagi mencari cinta baru disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai jadual kerja sekarang.

“Kehidupan saya sangat positif sekarang dan sibuk dengan syarikat baru yang akan lancar pada Jumaat ini, pelbagai inisiatif bersama Warner Music Malaysia serta buka kafe baru bersama Aiman Hakim. Saya terlalu sibuk untuk mencari cinta selepas insiden itu.

“Sejurus kembali ke Kuala Lumpur selepas insiden itu, saya terus buka studio dan fokus kepada projek mendidik anak autisme yang dijalankan sekarang. Doakan supaya saya dapat bertemu bidadari hidup yang ditakdirkan untuk saya,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi Kalau Aku Kaya itu tidak menolak sekiranya dipertemukan jodoh yang terbaik buatnya dalam masa terdekat.

“Saya sebagai lelaki sudah siap sedia untuk berumahtangga namun sekarang ibu adalah fokus utama saya. Namun terus-terang, saya benar-benar tiada masa dan tidak boleh menjadi kekasih yang sepenuh masa jika ada seseorang pun.

“Insya-Allah kalau kerja yang ada sekarang sudah selesai semuanya, Tuhan pun sudah aturkan, saya sedia bercinta. Cinta itu sangat menakjubkan, saya tak sabar melihat apa yang Tuhan sudah aturkan buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:46 PM