Album mereka ini mengetengahkan pelbagai elemen muzik Melayu seperti keroncong dan zapin, asli yang menggunakan alat muzik seperti rebana serta gamelan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

YAKIN muzik era 1970-an hingga 1990-an ada kelompok peminatnya, Margasatwa mahu terus memperjuangkan muzik berkenaan.

Dianggotai Kimal (penyanyi), Syahir (dram), Fadhil (gitar), Sammy (gitar) dan Shadiq (bass), mereka kini tampil dengan album penuh yang memuatkan 11 lagu.

Menggunakan nama Margasatwa sebagai tajuk album, Kimal berkata, album mereka ini mengetengahkan pelbagai elemen muzik Melayu seperti keroncong dan zapin, asli yang menggunakan alat muzik seperti rebana serta gamelan.

“Kami mahu tampil dengan identiti sendiri dengan memilih muzik Melayu. Kami juga ingin memartabatkan muzik ini sampai bila-bila. Kami tidak mahu identiti kemelayuan itu hilang dan berharap ia akan diingati pendengar,” kata Kimal mewakili temannya.

Kimal berkata, selain menampilkan muzik Melayu, mereka juga akan tampil berbusana Melayu ketika di pentas.

“Itu identiti yang kami bawa dan tidak hanya pada lagu semata-mata, kami tonjolkan juga dalam penampilan malah pernah memakai tanjak ketika membuat persembahan.

“Kami lihat pada kesesuaian majlis dan pakaian akan mengikut tema. Jika perlu berbaju Melayu, berpakaian rock atau apa juga tema yang sesuai,” katanya.

Berkongsi cabaran menghasilkan album sulung mereka, Kimal berkata, mereka mengambil masa hampir setahun berikutan anak sulung Kimal, Puspa yang berusia 10 bulan ketika itu berdepan masalah jantung berlubang.

“Kami mengalami masa sukar kerana perlu menyiapkan album ini dan pada masa yang sama perlu berusaha mencari wang untuk menampung kos pembedahan anak saya.

“Alhamdulillah, Puspa semakin sihat sekarang dan setahun sekali kami kena hantar dia menjalani pemeriksaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan rakan artis yang membantu menghulurkan sumbangan untuk pembedahan Puspa ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:22 AM