Oleh Nazrul Azuad
am@hmetro.com.my


BUKAN rocker namanya jika tidak mengenali Loudness - band heavy metal dan glam metal dari Jepun ini.

‘Trademark’ baju bermotif sinar matahari merah dan putih yang dipopularkan Loudness menjadi ikutan peminat mereka.

Loudness yang kini dianggotai Minoru Niihara (penyanyi), Akira Takasaki (gitar), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram - pemain dram asal mereka, Munetaka Higuchi meninggal dunia pada 2008) menggegarkan Kuala Lumpur dalam persembahan mantap di Konsert Loudness - Rise To Glory Tour Malaysia 2019 di The Bee, Publika, baru-baru ini.

Ini konsert ketiga Loudness di sini selepas di KL Live pada 2011 dan Sound Valley Festival di Maeps, Serdang, dua tahun lalu.

Konsert kali ini boleh dikatakan agak eksklusif dan apa yang mengujakan Loudness cukup dekat dengan 600 peminat yang memenuhi segenap ruang dalam The Bee.

Tanpa sebarang bicara, mereka membawakan lagu Soul On Fire dan I’m Still Alive yang dipetik daripada album terbaharu, Rise Of Glory.

Sebaik menyapa penonton, mereka terus mempersembahkan lagu yang cukup sinonim dengan peminat di sini seperti Crazy Nights, Like Hell dan Heavy Chains daripada album Thunder in the East.

Walaupun sudah mencecah usia 50-an, setiap anggota Loudness memainkan peranan mereka secara konsisten, aksi bertenaga dipertontonkan dengan cukup dramatik seolah-olah tiada rasa letih.

Akira selaku pemain gitar dan tulang belakang Loudness pasti menjadi santapan kelompok pemain gitar yang hadir.

Aksinya cukup memukau dan boleh dikatakan sukar mencari sebarang kecacatan dalam teknik permainannya termasuk solo gitar yang mengagumkan.

Niihara masih mampu mengekalkan suara seperti nyanyian asal, namun dipendamkan sistem audio yang agak bingit mengaburi kekuatan suaranya.

Namun, sedikit mengecewakan apabila Suzuki tidak dapat bersama Loudness pada malam itu akibat masalah kesihatan dan digantikan Ryuichi Nishida.

Bagaimanapun, Ryuichi tampil penuh bertenaga dalam persembahan dram solo Kama Sutra sekali gus mematikan kegelisahan penonton akibat ketiadaan Suzuki.

Keupayaan Yamashita selaku pemain bass juga tidak perlu dipertikaikan. Kelajuan jemari sesekali melakukan aksi ‘slapping’ memberi nyawa optimum terhadap persembahan Loudness kali ini.

Loudness turut mengundang memori peminat dengan membawakan lagu So Lonely.

Ternyata lagu malar segar ini dinyanyikan bersama peminat mereka.

Selain itu Loudness turut membawakan lagu In My Dreams, This Lonely Heart, Crazy Doctor, In The Mirror, The Sun Will Rise Again, Until I See The Light, Go For Broke dan S.D.I dalam persembahan berdurasi satu jam 30 minit itu.

Terdahulu, pentas dipanaskan dengan persembahan bertenaga daripada band tampatan iaitu Jemson dan Farasu yang tidak kurang hebatnya.

Konsert Loudness - Rise to Glory Tour Malaysia 2019 dibawakan oleh Live Nation, Lampuneon selaku promoter konsert dan Galactix selaku penjual tiket rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:09 AM