SHARIFAH SAKINAH
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


BERIKUTAN membawa sekumpulan kanak-kanak tahfiz menonton wayang filem seram Pusaka Sabtu lalu, pelakon Sharifah Sakinah dikritik netizen yang berasa kurang senang dengan niat baiknya.

Sakinah menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram berkata, dia tidak menyangka perkara itu menjadi perhatian netizen hingga ada yang salah faham.

“Saya minta maaf jika menyinggung sesiapa. Ia bermula dengan niat baik tetapi tak sangka pula jadi kontroversi,” katanya.

Menurut Sakinah, sebelum membawa pelajar tahfiz terbabit keluar, dia terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pengurusan sekolah mengenai aktiviti yang dirancang.

“Saya mendapat lampu hijau daripada pihak pengurusan tahfiz. Saya bawa mereka menonton dan makan di luar, pada masa sama menyokong filem tempatan yang bagus.

“Kalau sekadar beli satu atau dua tiket ia tidak mencukupi untuk membantu filem tempatan. Jadi saya terfikir untuk bawa pelajar tahfiz sekali gus dapat menggembirakan kanak-kanak ini.

“Mereka suka Pusaka kerana filem ini berkaitan agama dan jin. Ada mesejnya di situ,” kata Sakinah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:01 PM