ALIF menunaikan solat jamak takhir sebelum menamatkan perlumbaan.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PERKONGSIAN video Alif Satar sedang menunaikan solat ketika menyertai acara Ironman Langkawi 2019 baru-baru ini menjawab tanda tanya netizen yang sebelum ini mempersoalkan sama ada penyanyi itu menunaikan solat atau tidak ketika menyertai acara terbabit.

Alif, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar menamatkan cabaran itu dengan catatan masa 15 jam lima minit dan 49 saat membabitkan tiga aktiviti iaitu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42km.

Alif berkata, perkongsian itu bagi membuktikan solat itu mudah dan boleh dilakukan di mana sahaja dalam apa cara sekali pun.

“Sejak buat perjalanan Ironman Langkawi 2019 di Youtube, ramai mengikuti perkembangan ini. Dalam masa sama saya mahu beri inspirasi kepada orang ramai.

“Apabila timbul persoalan macam mana dengan solat, saya berasakan perkongsian ini sedikit-sebanyak membantu mereka yang ingin menyertai acara ini.

“Mungkin mereka bertanya sebab tak tahu. Bagi saya, tak perlu risau atau takut nak masuk terutama memikirkan bab solat. Solat itu mudah. Alhamdulillah, tempat perlumbaan ini menyediakan tempat untuk solat. Tinggal lagi kita kena bijak cari masa,” katanya kepada Harian Metro.

Alif berkongsi, dia menunaikan solat jamak takhir sebelum menamatkan perlumbaan.

“Memandangkan perlumbaan ini dibuat di Langkawi, jadi saya boleh buat jamak. Kiranya sangat mudah. Saya pun sudah kira dan susun waktu sesuai untuk solat,” katanya.

Alif turut menjelaskan, perkongsian itu bukan untuk menunjukkan dirinya bagus tetapi bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan.

“Video ini bahagian ketiga daripada perjalanan saya sepanjang terbabit dalam Ironman Langkawi 2019.

“Bukan saya nak tunjuk bagus atau cara nak solat tetapi mahu beritahu apabila dapat solat badan saya segar kembali.

“Dalam video ini saya sudah kongsi semuanya dan saya jemput orang ramai menontonnya di saluran Youtube Alif Satar,” katanya.

#kw Alif Satar

#loc Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:24 PM