APINK beri persembahan bertenaga.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


BERSEMPENA dengan festival jualan murah pelbagai platform beli-belah dalam talian yang sedang berlangsung, tidak ketinggalan acara konsert Lazada 11.11 Super Show diadakan malam kelmarin.

Bersiaran secara langsung menerusi TV3, konsert terbabit yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dihadiri lebih 3,000 penonton.

Dimulakan dengan acara karpet merah, semua selebriti yang terbabit disambut luar biasa peminat masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan dari Korea Selatan iaitu APINK ternyata paling mendapat perhatian. Hakikatnya, rata-rata yang menyaksikan konsert itu hadir semata-mata untuk menyaksikan kumpulan berkenaan.

Ia terbukti apabila penonton bersorak kuat sebalik melihat APINK muncul di karpet merah. Peminat terutama remaja juga kelihatan membawa sepanduk dan batang cahaya tangan tertera nama APINK.

Sorakan menjadi lebih gempita apabila enam anggotanya iaitu Park Cho-rong, Yoon Bo-mi, Jung Eun-ji, Son Na-eun, Kim Nam-joo dan Oh Ha-young muncul membuat persembahan di pentas. Kemunculan mereka benar-benar menggamatkan suasana.

Pernah bertandang ke Malaysia beberapa kali, APINK mengakui sangat teruja dapat kembali ke sini.

Mereka juga berterima kasih dengan sokongan kuat yang masih diberikan peminat tempatan.

“Kami sangat rindu dengan anda semua. Terima kasih kerana terus setia menyokong kami dan sangat menghargai anda semua,” kata mereka.


ZIZI Kirana mengagumkan ramai.

Tampil ringkas dengan busana berona putih, semua anggotanya memberikan persembahan bertenaga walaupun muncul pada penghujung acara. Pesona dan aura menghibur mereka sememangnya sangat tersendiri.

Pada malam itu, APINK mempersembahkan lagu hit mereka termasuk Mr Chu, I'm So Sick, dan Luv.

Selain APINK, penghibur antarabangsa yang turut membuat persembahan adalah penyanyi dari seberang, Cinta Laura Kiehl.

Cukup berpengaruh di Indonesia, Cinta tidak dinafikan antara penyanyi yang terus kukuh namanya.

Cinta mengakui teruja dengan penghormatan itu apalagi buat julung kalinya dapat membuat persembahan di Malaysia. Dia juga sangat terharu penonton masih setia menunggunya sebagai artis penutup.

“Saya pernah tinggal di Malaysia, namun tidak pernah mendapat peluang membuat persembahan di sini. Ini pertama kali dapat beraksi di sini dan saya sangat teruja.

“Terima kasih kerana sudi menunggu saya membuat persembahan hingga ke hujung acara. Saya benar-benar hargai sokongan kamu semua,” katanya yang mempersembahkan lagu Oh Baby dan Vida.

Dihoskan Fiza Sabjahan, Haziq Hussni dan Sean LJE, tirai Lazada 11.11 Super Show dibuka dengan persembahan Meer Fly, diikuti dengan Ziri Kirana dan K-Clique.


ANDI Bernadee. FOTO: Aziah Azmee

Turut menghangatkan suasana dengan persembahan hebat adalah Black, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Bunga dan sketsa mencuit hati daripada Shuk Sahar, Ebby Yus, Shiha Zikir serta Elly Mazlein.

Tidak ketinggalan, Andi Bernadee berjaya menghidupkan suasana menguasai mempersembahkan lagu hitnya, Donde. Sejurus itu diikuti dengan Naim Daniel yang memukau penonton dengan lagunya, Sumpah.

Segmen seterusnya adalah pertunjukan fesyen Carlo Rino yang turut diiringi nyanyian Hael Husaini. Kemudian pertarungan rap antara Zizi dan Sophia Liana menyusul apabila penonton begitu kagum dengan kebolehan rap mereka.

Persembahan diteruskan Ayda Jebat, Siti Nurdiana, Man Bai dan Hujan yang berjaya memeriahkan suasana sekitar PICC walaaupun masa sudah hampir larut malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, acara itu adalah kali kedua Lazada bekerjasama bersama TV3 menganjurkan Lazada 11.11 Super Show.

“Kami berharap kerjasama ini dapat dikekalkan sebagai acara tahunan antara TV3 dan Lazada. Kami berbesar hati berganding bahu bersama Lazada dalam menjayakan kempen Lazada 11.11 Super Show ini.

“Dengan kejayaan acara ini tahun lalu, terutama persembahan penutup yang disampaikan oleh KARD, penonton amat teruja dengan kembalinya konsert ini pada tahun ini.

“Lazada 11.11 Super Show tahun ini mempersembahkan selebriti antarabangsa yang dibawakan khas dari Indonesia dan APINK dari Korea Selatan.

“Kami berharap Lazada 11.11 Super Show kali ini akan menjadi penanda aras baharu dan membuka lebih banyak peluang untuk syarikat lain bekerjasama dengan Media Prima Berhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:10 AM